Lebih ramai lepasan SPM bakal jadi 'rider'?
CADANGAN kerajaan untuk menurunkan had umur penunggang p-hailing daripada 21 tahun ketika ini kepada 18 tahun, wajar dibuat kajian menyeluruh bagi meneliti kesan baik dan buruknya.
Jika dilihat dalam sektor ekonomi gig yang semakin berkembang, cadangan itu pasti menggembirakan pengendali syarikat penghantar makanan kerana syarikat itu sangat memerlukan tenaga kerja sebagai penghantar makanan susulan permintaan tinggi bagi perkhidmatan tersebut.
Anak muda juga berpeluang meraih pendapatan lumayan, malah difahamkan mereka mampu memperoleh sehingga RM5,000 sebulan jika bekerja sepenuh masa.
Tawaran pendapatan tinggi itu membuatkan segelintir anak muda yakin pekerjaan itu lebih terjamin pada masa sekarang berbanding bekerja selepas tamat pengajian diploma atau ijazah.
Maka, sudah pasti cadangan menurunkan had umur kepada 18 tahun itu akan menarik minat remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka mungkin berbelah bahagi sama ada mahu merebut peluang kerja sebagai penunggang p-hailing atau mengutamakan kepentingan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Dari sudut positif, cadangan itu dilihat memberi peluang kepada anak muda melakukan kerja sampingan pada hujung minggu bagi menampung perbelanjaan harian.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Kementerian Pengangkutan akan membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta dalam sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-hailing di Malaysia.
Ia melibatkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Sebelum ini, menurut Jabatan Perangkaan, terdapat 560,000 lepasan SPM tetapi hanya 170,000 pelajar yang menyambung pelajaran, manakala 72.1 peratus atau 390,000 lagi enggan berbuat demikian.
Lebih membimbangkan, trend pada 2019 itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee pula berkata, jika kerajaan lambat bertindak, negara akan berdepan masalah kekurangan tenaga kerja profesional dalam sektor kritikal bagi 15 atau 20 tahun akan datang.
Justeru, pihak berkepentingan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberi maklum balas mengenai cadangan menurunkan had umur p-hailing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!