Pacu jenama AEON BiG
SHAH ALAM - Sejarah AEON BiG bermula apabila AEON Group mengambil alih Carrefour Malaysia pada 2012. Selepas 10 tahun, AEON BiG terus berkembang dan melakar nama sebagai salah sebuah pasar raya besar pilihan utama rakyat Malaysia berbelanja.
Kini dengan 21 cawangannya di seluruh negara, AEON BiG kukuh membawa jenama menerusi pelbagai pilihan barangan dengan nilai yang hebat.
Cabaran ekonomi yang dihadapi semasa pandemik Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesan ke atas kerancakan pasar raya besar itu mengembangkan perniagaannya. Pun begitu, isu berkenaan tidak menjadi halangan untuk pengurusannya terus bangkit dan membuktikan kemampuan menjadi penyumbang ekonomi negara.
Perubahan pada pucuk pimpinan organisasi itu dilihat antara usaha AEON Group memastikan pasar raya besar itu terus kekal relevan sehingga kini. AEON Group mengambil langkah berani membawa masuk individu sebagai peneraju dalam syarikat biarpun kurang berpengalaman dalam bidang peruncitan.
Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, 44, berkelulusan Ijazah Kewangan dari Arizona State University Amerika Syarikat (AS) dilantik Ketua AEON BiG pada 2021 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Urusan AEON BiG pada 1 Julai lalu.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini pernah berkhidmat dengan Kumpulan Syarikat Nestle selama 18 tahun di Malaysia, Singapura, Filipina dan Switzerland.
Berpengalaman luas dalam bidang perakaunan, kawalan perniagaan, audit serta tadbir urus menjadikan Sheikh Farouk diletakkan sebagai pilihan bagi mengembalikan kegemilangan AEON BiG ketika dunia berdepan Covid-19.
Era baharu
Kepercayaan yang diberikan oleh AEON Group digunakan sepenuhnya untuk membawa AEON BiG ke era baharu bidang peruncitan di Malaysia.
Sheikh Farouk berkata, tidak ada yang mustahil kerana beliau mengamalkan prinsip jika wujud cabaran dengan sendirinya akan ada peluang yang datang.
Berbekalkan semangat iltizam itu, AEON BiG yang dipimpinnya berjaya mengharungi tempoh sukar ketika era pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Kuasa membeli ketika pandemik berkurangan, rakyat akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi, saya dan pasukan mengambil peranan memikirkan cara terbaik bagaimana hendak membantu pekerja, pelanggan, peniaga, penyewa premis di AEON BiG mengharungi Covid-19,” katanya.
Antara langkah pertamanya adalah memastikan barangan keperluan asas seperti beras, ayam, daging, sayuran dan sebagainya tidak putus.
Justeru, AEON BiG bekerjasama dengan pihak Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) dan memberi fokus kepada produk tempatan.
“Formula ini berjaya meskipun ketika PKP premis bukan kritikal terpaksa ditutup, pelanggan tetap datang untuk membeli-belah barangan keperluan harian dan kitaran perniagaan masih berjalan walaupun agak perlahan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Tambahnya, situasi perniagaan pada tahun 2021 semasa PKP 2.0 juga mencabar apabila jumlah kakitangan berkurangan kerana dijangkiti Covid-19 termasuk masalah stok barangan dan perubahan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Proses vaksinasi dipercepatkan untuk setiap kakitangan dan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja, pengurusan menyelaras semula mereka yang bekerja di lapangan untuk bertugas di cawangan-cawangan yang kekurangan tenaga kerja kerana dijangkiti Covid-19.
“AEON BiG tidak memberhentikan atau memotong gaji pekerja ketika pandemik dan inilah cabaran kami menguruskan 2,300 pekerja yang merupakan pengalaman luar biasa dalam peruncitan,” ujarnya.
Menurutnya, AEON BiG melaksanakan pemberian gaji minimum RM1,500 sebulan bermula Januari lalu bagi menjaga kebajikan pekerja.
“Kami turut mengadakan pembelian secara dalam talian serta khidmat penghantaran barangan terus ke rumah. Sambutan dan maklum balas daripada pelanggan amat baik sekali,” jelasnya.
Bantu golongan memerlukan
Sheikh Farouk berkata, AEON Big mempunyai visi dan misi membantu komuniti terutamanya semasa pandemik sepanjang tahun 2020 hingga 2021.
“Kami pernah menyumbang kepada mangsa yang terkesan dengan tragedi malang seperti banjir besar di Shah Alam, Karak dan Pantai Timur.
“Kami juga membantu rakan niaga iaitu penyewa premis melalui pengecualian sewa kerana mereka sukar mendapatkan pelanggan,” ujarnya.
Selaras dengan aspirasinya untuk berkhidmat kepada masyarakat, AEON BiG baru-baru ini telah bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad yang membekalkan ayam kampung untuk dipasarkan di semua 21 cawangannya.
Jimat Poket 100 hariBagi memberi tambah nilai kepada pelanggan, Kumpulan AEON dan AEON BiG terlibat dalam pelbagai program bersama pihak kementerian.
Antaranya Program Jimat Poket bermula 1 Jun hingga 16 September depan.
“Inisiatif selama 100 hari ini menjual 15 barangan keperluan harian terpilih pada harga RM60 sahaja. Nilai sebenar 15 item ini adalah RM80, bermakna ada penjimatan sebanyak RM20,” kata Sheikh Farouk.
AEON BiG turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memperkenalkan Jualan Keluarga Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!