E-Keusahawanan dedah orang asli berniaga
BALING - Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) memberi pendedahan Kursus E-Keusahawanan di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Ulu Legong, baru-baru ini.
Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan berkata, program itu bagi memberi galakan kepada masyarakat orang asli untuk menjalankan perniagaan sendiri.
"Kita juga berusaha membantu mereka menjalankan perniagaan.
"Ini termasuk memasarkan barangan secara dalam talian (online)," katanya.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ismail Salleh pula berkata, penganjuran program berkenaan harus dipuji kerana ia memberi peluang kepada anak luar bandar menambah baik kemahiran mereka secara positif.
"Ia juga menjadi platform kepada penduduk orang asli mendapatkan bantuan serta mempelajari peluang dan kemahiran melalui pelbagai aktiviti yang diadakan," katanya.
Menurutnya, beliau percaya program sebegini juga akan memberikan ruang kepada penduduk untuk terus berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui bengkel dan kursus kemahiran yang dilaksanakan.
"Pihak PTSS juga boleh menyediakan program khas pra diploma dan diploma yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki orang asli seperti kemahiran kraftangan supaya kemahiran mereka dapat dibangunkan dan diperkenalkan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Tok Batin, Razali Kulim berkata, dia dan penduduk kampung berbesar hati dengan kedatangan pihak PTSS.
"Saya juga berharap pihak politeknik dapat terus membimbing masyarakat orang asli berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi," katanya.
Program yang disertai seramai 43 peserta dalam kalangan orang asli itu dianjurkan bersama Briged Rela Siswa Siswi, Askar Wataniah, Sukarelawan Yes PTSS, anggota Rela Perlis dan Rela Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!