Kontrak KSN disambung dua tahun lagi

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos hingga 10 Ogos 2024, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pada Khamis.

Pelantikan semula Mohd Zuki sebagai KSN diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan," menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Mohd Zuki, 60, dilantik sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 dan merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!