Transformasi industri perlombongan NR-REE

Industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang bakal dibangunkan di Malaysia akan ditransformasikan.(Gambar hiasan) - Foto Awani
Industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang bakal dibangunkan di Malaysia akan ditransformasikan.(Gambar hiasan) - Foto Awani
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang bakal dibangunkan di Malaysia akan ditransformasikan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, transformasi itu meliputi daripada pengeksportan mineral secara mentah kepada penumpuan terhadap pengeksportan produk separa siap di peringkat pertengahan atau produk akhir berasaskan mineral di peringkat hiliran.

"Usaha ini penting dalam memastikan pembangunan industri NR-REE tidak terhenti di peringkat huluan sahaja," katanya.

Menurutnya, industri NR-REE perlu diperluaskan lagi sehingga menghasilkan ekosistem industri yang lengkap dan mampu memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara.

"Hal ini adalah selaras dengan penyataan Dasar Mineral Negara 2 (DMN2) yang menekankan pembangunan sumber mineral secara efisien dan bertanggungjawab di samping mengusaha hasilkan sumber secara optimum," katanya dalam ucapan perasmian Simpomin NR: REE kali ke-10, di sini pada Khamis.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Rosli Isa.

Beliau berkata, seiring dengan perkembangan pesat teknologi, keperluan sumber NR-REE akan terus meningkat dan mendapat permintaan yang tinggi.

"Kita perlu memastikan industri NR-REE di Malaysia diberi nafas baharu dengan penghasilan produk-produk yang bernilai tinggi," katanya.

Takiyuddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pelbagai pihak dialu-alukan bekerjasama melibatkan diri dalam penghasilan produk mineral khususnya NR-REE melalui penceburan dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

"Kementerian memiliki Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) di bawah Jabatan Mineral dan Galian (JMG) yang berfungsi membangunkan bidang R&D&C&I untuk industri mineral," katanya.

Ujarnya, bagi memperkasakan lagi fungsi PPM, aspek yang menjadi tunjang utama fungsi PPM termasuk fasiliti, peralatan, kepakaran, teknologi dan pembangunan modal insan perlu dipertingkatkan.

"Saya yakin dengan potensi penyelidikan di bawah kendalian PPM dan dalam tempoh enam bulan akan datang, diharap pihak itu mampu untuk membangunkan satu kajian atau penghasilan produk yang bermanfaat khususnya berkaitan NR-REE," katanya.

Sumber NR-REE di Malaysia dianggarkan mencecah sehingga 15.2 juta tan metrik dengan nilai sekitar RM741 bilion.

Ia dikenal pasti tersebar di sekitar Kelantan, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!