Tujuh premis makanan kotor diarah tutup
KUANTAN - Sebanyak tujuh premis makanan di daerah ini diarah tutup selepas dikesan berada dalam keadaan kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.
Arahan penutupan premis selama tiga hari itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bawah Seksyen 72 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (langkah perlu bagi menjamin kesihatan awam).
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Nor Kamawati Kamal berkata, kegagalan segelintir peniaga makanan mematuhi peraturan berkait aspek kebersihan premis itu dikesan dalam Operasi Gempur Premis Makanan MBK yang dilaksanakan sejak 7 Ogos lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu, sebanyak 71 premis telah diperiksa dan segelintir peniaga didapati langsung tidak mengendahkan peraturan berkaitan kebersihan yang telah dikeluarkan pihak MBK sebelum ini, malah ada yang melakukan kesalahan berulang.
"Sebanyak 59 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Kawalan dan Penyeliaan Tempat Makanan (MPK) 1983.
"Turut dikeluarkan 10 notis peringatan dan arahan melaksanakan kerja-kerja pembersihan kepada premis-premis yang ingkar ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan secara berterusan itu juga bertujuan untuk mendidik warga penjaja dan peniaga supaya mengamal dan mengutamakan kebersihan di premis masing-masing pada setiap masa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!