KPDNHEP, polis tumpas penyelewengan diesel bersubsidi

Pihak penguat kuasa sedang memeriksa lokasi serbuan di Kampung Sri Parit, Lukut pada Rabu. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
Pihak penguat kuasa sedang memeriksa lokasi serbuan di Kampung Sri Parit, Lukut pada Rabu. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan melibatkan 17,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM36,550 di Kampung Sri Parit, Lukut pada Rabu.

Ketua Pengawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, serbuan turut melibatkan penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berumur 36 dan 53 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 7.55 malam itu, pasukan operasi mendapati terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah lori tangki lain menggunakan hos penyambung di sebuah kawasan lot terpencil.

"Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori tangki pertama mendapati terdapat kira-kira 9,000 liter cecair yang dipercayai adalah diesel dan lori tangki kedua mengandungi kira-kira 8,000 liter diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Abd Muis, hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit atau Permit Khas atau Surat Kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual.

"Turut disita dua lori tangki serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti hos. Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM116,550," katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan iaitu apa-apa barang kawalan yang disimpan di mana-mana premis selain dari premis dilesenkan atau dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

"Kejayaan kes ini adalah hasil perkongsian maklumat risikan yang telah dijalankan oleh pasukan polis IPK Negeri Sembilan.

"KPDNHEP Negeri Sembilan komited membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi dengan kerjasama strategik bersama pihak polis," katanya.

Beliau turut menegaskan supaya semua pihak khususnya peniaga mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP di dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian antaranya melalui Call Centre, 1800886800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU atau WhatsApp 019-2794317.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!