Platform redBus catat peningkatan 37 peratus

Platform redBus catat peningkatan jualan tiket bas sepanjang perayaan Aidiladha.
Platform redBus catat peningkatan jualan tiket bas sepanjang perayaan Aidiladha.
A
A
A

SHAH ALAM - Platform e-tiket bas terbesar di dunia, redBus mencatatkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam jualan tiket bas sepanjang minggu menjelang ketibaan hari raya Aidiladha atau 'Raya Haji' berbanding minggu yang sama pada bulan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif redBus, Prakash Sangam berkata, lebih 100,000 tiket bas telah dijual dalam tempoh seminggu menjelang Raya Haji untuk pulang ke kampung demi meluangkan masa bersama yang tersayang.

Menurutnya, permintaan tertinggi untuk perjalanan bas melibatkan laluan kedua-dua arah dari Kuala Lumpur (KL) ke Melaka dan KL ke Johor Bahru.

“Industri yang menyaksikan pertumbuhan tertinggi dalam jualan tiket berbanding bulan sebelumnya ialah di KL pada 50 peratus, Pulau Pinang pada 44 peratus dan Perak pada 42 peratus.

“Permintaan yang meningkat ini juga telah membolehkan pengusaha bas untuk kembali menyediakan perkhidmatan penuh di mana lebih daripada 110 pengendali bas telah menyediakan 3,000 laluan di seluruh negara pada musim Raya Haji yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, redBus mula melihat permintaan yang semakin meningkat untuk bas transit antara bandar di Malaysia.

“Perayaan Raya Haji telah menyaksikan semangat orang ramai untuk melancong dan trend terkini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk pulang ke kampung.

“Kami juga melihat keyakinan pengguna ini sebagai sentimen positif untuk ekonomi Malaysia kerana kami menjangkakan sektor perjalanan bas akan berkembang kira-kira 30 peratus dalam tempoh enam bulan yang akan datang dengan penambahan sehingga 5,000 pekerjaan baharu dalam sektor perjalanan bas Malaysia dalam tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata, dengan permintaan domestik yang semakin meningkat untuk perjalanan bas, laporan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia kini berasa yakin untuk berulang-alik menggunakan pengangkutan awam tatkala kita beransur kembali kepada corak perjalanan seperti mana yang sudah dijadikan kebiasaan sebelum dunia dilanda pandemik.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan - SEA Business of redBus, Krishnan Ramaswami berkata, redBus kekal berusaha untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan pelanggan, pemandu dan alam sekitar.

“Kami juga sedang memulakan pelan komprehensif termasuk sistem tempahan tanpa kertas, pas perjalanan untuk pengguna kerap, penyediaan perkhidmatan laluan tambahan dan perkhidmatan feri untuk terus memacu pengedaran dalam talian.

“Kami turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan beberapa pengendali bas untuk menambah baik lagi sektor pengangkutan dengan menyokong trend seluruh dunia untuk masa depan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!