Pembantu am sekolah didakwa cuai tinggalkan tiga anak
MELAKA - Seorang pembantu am sekolah wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan kecuaian meninggalkan tiga anak kandungnya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Masanizah Roslan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan cuainya telah meninggalkan tiga anak kandung berusia sebelas, lapan dan enam tahun tanpa jagaan.
Kesalahan itu mungkin menyebabkan anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah rumah di Taman Gadong Perdana di sini, antara 23 Mei hingga 25 September tahun lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari yang menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang sedang hamil tiga bulan dan tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan berpendapatan kecil selain masih membayar wang jagaan ketiga-tiga anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 September depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Difahamkan kanak-kanak itu kini di bawah jagaan ibu saudara bekas suami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!