Kejohanan Boling Anak Kelantan 2022 meriah
SEBANYAK 20 kumpulan menampilkan anak-anak perantau Kelantan berentap pada Kejohanan Boling Anak Kelantan 2022 yang berlangsung di Dewan Ball, Kompleks Sukan Nilai, Negeri Sembilan Ahad lalu.
Presiden The Red Warriors (TRW) KLIA, Rozaki Ab Kadir berkata, kejohanan anjuran TRW KLIA itu bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan anak-anak perantau Kelantan.
“Kejohanan ini disertai 80 peserta daripada kelab dan persatuan di Lembah Klang.
"Selain mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan mereka, kejohanan seperti ini akan dapat melahirkan semangat kesukanan.
“Malah, kejohanan ini juga diharap dapat menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim yang turut menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada kesemua pemenang selain selebriti terkenal, Danny X-Factor.
Dalam pada itu itu, Rozaki menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu yang disifatkannya hasil usaha serta komitmen daripada semua pihak melibatkan ahli jawatankuasa pelaksana dan para peserta.
“Kami turut mengharapkan program-program seperti ini menjadi salah satu medium rekreasi dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim anak-anak Kelantan di perantauan,” ujarnya.
Pada kejohanan itu, TRWC KLIA Sepang muncul juara kategori berkumpulan manakala Kumpulan Sauk dan TRWWK masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Selaku juara, TRWC KLIA Sepang telah membawa pulang hadiah berupa piala, sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Bagi kategori jatuhan pin tertinggi, juara disandang ZORRO seterusnya membawa pulang hadiah berupa medal dan wang tunai RM100, tempat kedua dimenangi ARS manakala tempat ketiga menjadi milik MR NRZ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!