Kesihatan Adib semakin positif
SHAH ALAM - Tahap kesihatan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, semakin menunjukkan perkembangan positif.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim bertambah baik namun kini bergantung kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).
“Mesin ini berperanan mengambil alih fungsi penting seperti ginjalnya, paru-paru dan jantung Muhammad Adib.
“Dia semakin pulih namun mesti menerima rawatan rehabilitasi secara intensif. Kita harap dia akan terus menunjukkan perkembangan positif,” katanya di Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, proses penyediaan laporan lengkap perubatan Muhammad Adib dalam peringkat akhir.
“Bagaimanapun saya tidak boleh dedah perinciannya kerana itu adalah perkara yang bersangkutan (siasatan) dengan pihak berkuasa
“Apabila tiba masanya nanti saya yakin perkara itu akan didedahkan juga (oleh pihak berkuasa),” katanya.
Dzulkefly berkata, Muhammad Adib kini dirawat oleh satu pasukan perubatan yang sangat bagus dan rapi.
“Setakat ini tidak ada jangkaan masa yang spesifik berapa lama lagi Muhammad Adib memerlukan rawatan di hospital. Semua bergantung kepada keadaannya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi, Muhammad Adib,24, dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman 27 November lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Anggota bomba diserang dalam keadaan kritikal]
Menurut sumber, mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan ditarik keluar dari kenderaan EMRS selain perusuh merosakkan kenderaan FRT dan EMRS milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!