Bot karam: 14 jam berenang di lautan cari bantuan

Muhd Kamarudin mendapat sokongan daripada isteri serta anak-anak selepas trauma dengan kejadian bot karam di Pulau Redang.
Muhd Kamarudin mendapat sokongan daripada isteri serta anak-anak selepas trauma dengan kejadian bot karam di Pulau Redang.
A
A
A

PASIR PUTEH - Mangsa tunggal yang terselamat dalam tragedi bot nelayan karam di Pulau Redang, Terengganu terpaksa berenang selama 14 jam di lautan untuk mendapatkan bantuan.

Muhd Kamarudin Yudi, 31, berkata, sepanjang berenang pelampung bubu sebanyak tiga biji menjadi alat penyelamat untuk dirinya bertahan daripada tenggelam ke dasar laut.

"Masa itu saya tidak fikir benda lain, dalam fikiran hanya mahu sampai ke daratan dan minta bantuan untuk selamatkan lima lagi rakan yang dikhuatiri hilang. Sehingga kini perasaan terkilan masih ada apabila terkenangkan mereka tidak dapat diselamatkan.

"Kejadian itu berlaku terlalu cepat, kami sedang bersiap-siap untuk masuk tidur selepas makan dan solat Isyak. Ketika itu hujan tidak lebat namun keadaan laut bergelora akibat tiupan angin kencang," katanya ketika ditemui di rumahnya di perkampungan nelayan Tok Bali di sini pada Khamis.

Menurutnya, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan pukulan ombak setinggi dua meter menyebabkan bot berpusing dan air masuk ke dalam bot.

Dia berkata, bot tersebut kemudiannya terbalik, namun mereka sempat berpaut tetapi tidak sampai beberapa saat pukulan ombak kali kedua terus menenggelamkannya.

Muhd Kamarudin berkata, rakan, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, sempat memegang kakinya sebelum mereka semua tenggelam dipukul ombak.

Katanya, semasa kejadian dia hanya mendengar bunyi pukulan ombak dan rakan-rakan lain tidak kelihatan.

"Saya terus berenang ke arah cahaya rumah api untuk mendapatkan bantuan dan jarakknya dianggarkan 10 batu nautika dari lokasi kejadian.

"Ketika jarak rumah api dengan tempat saya berenang hanya satu batu nautika, muncul sebuah kapal layar pelancong. Saya terus melambai-lambai meminta bantuan, kebetulan terdapat empat pelancong asing," katanya.

Bapa kepada dua anak ini berkata, pelancong asing tersebut membantu membawanya ke darat dan seterusnya mendapatkan bantuan serta rawatan di Klinik Pulau Redang kerana mengalami luka ringan.

Muhd Kamarudin berkata, ini merupakan pengalaman pertama bot karam yang dilaluinya setelah lebih 20 tahun bekerja sebagai pembawa bot pelancong untuk memancing di lautan.

Katanya, mereka sepatutnya pulang pada Rabu selepas keluar memasang bubu ikan kerisi pada Isnin.

Menurutnya, sampai sekarang dia sukar untuk melelapkan mata kerana masih trauma dengan kejadian tersebut dan terkenangkan nasib lima lagi rakannya yang telah menjadi korban bot karam itu.

Sinar Harian pada Rabu, melaporkan sebuah bot nelayan yang dinaiki enam lelaki karam di perairan Pulau Redang dijumpai di lokasi berlainan.

Tiga mayat mangsa tragedi bot nelayan itu dijumpai pada jarak antara 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari pulau berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa, Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan sekitar jam 11 pagi hingga 1.30 tengah hari oleh nelayan setempat.

Setakat ini dua lagi mangsa iaitu Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, masih belum dijumpai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!