90 peratus aduan rakyat Melaka berjaya diselesaikan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 90.19 peratus daripada 5,627 aduan dan permasalahan rakyat di negeri ini yang diterima dari 1 Januari hingga 31 Julai lepas berjaya diselesaikan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, baki 9.81 peratus atau 502 aduan lagi masih dalam tindakan agensi berkaitan dan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

"Aduan ini membabitkan pelbagai masalah seperti tanah, kebajikan, bantuan, kemudahan di taman perumahan dan sebagainya.

"Menerusi platform Hari Bertemu Pelanggan seperti hari ini, membolehkan orang ramai berkomunikasi dan berinteraksi secara bersemuka bersama penyelaras aduan Jabatan Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita di Jasin di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ peringkat negeri yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Program itu melibatkan 12 jabatan dan agensi kerajaan negeri seperti Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDTJ) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri memberikan fokus kepada empat objektif utama menerusi program tersebut dalam usaha menambah baik pengurusan aduan.

"Antaranya meningkatkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan pengurusan aduan dengan lebih efektif, menambah baik pendekatan dalam memperoleh dan memahami isu-isu yang dihadapi rakyat dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, kesedaran orang ramai mengenai derma organ masih di tahap rendah iaitu kurang satu peratus yang berikrar sebagai penderma organ.

"Sempena Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ 11 hingga 17 Ogos, kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada waris penderma yang telah membuat keputusan besar dengan bersetuju untuk mendermakan organ.

"Diharapkan lebih ramai tampil untuk berikrar dan lebih ramai waris bersetuju dengan hasrat ahli keluarga mereka yang ingin mendermakan organ supaya lebih ramai pesakit dapat dibantu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!