Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan oleh seorang lelaki berusia 22 tahun selepas sidang media pada Khamis.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan oleh seorang lelaki berusia 22 tahun selepas sidang media pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan kegiatan penyeludupan lebih satu tan daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke negeri itu.

Dalam serbuan pada jam 4 pagi, pihak berkuasa tersebut turut menahan seorang suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu lori.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi dari Cawangan Penguat kuasa Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat penyeludupan ketum dan melakukan intipan serta mengekori lori berkenaan dari Tanah Merah.

Katanya, suspek diarah memberhentikan lori dipandunya ketika sampai di Ketereh.

“Pemeriksaan lanjut di ruangan belakang lori menjumpai 145 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 1.45 tan bernilai RM14,500.

“Suspek dipercayai memandu lori dengan membawa muatan ketum diperoleh dari Kedah dan dibawa masuk ke Kelantan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, pada Khamis.

Beliau berkata, kegiatan penyeludupan ketum tersebut dipercayai membabitkan sindiket dan pihaknya giat menjejaki individu lain terlibat.

“Suspek berasal dari Tumpat direman empat hari bermula Selasa lalu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa itu mengesan taktik penyeludup yang bertukar pemandu kenderaan ketika dalam perjalanan membawa barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Pada tahun ini, kes terbaharu, sejumlah 5.81 tan daun ketum dirampas membabitkan empat kes dan jumlah itu meningkat daripada 343 kilogram daun ketum yang dirampas melibatkan dua kes pada tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!