PDP-I, Prabowo masih unggul dalam persepsi pengundi Indonesia

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDP-I) masih menjadi tumpuan dalam persepsi pengundi menjelang Pilihan Raya 2024 sementara pengerusi Parti Gerindra, Prabowo Subianto terus kekal di hadapan dalam senarai calon presiden baharu Indonesia, menurut kaji selidik.

Tinjauan pendapat terbaharu oleh Indonesia Polling Stations (IPS) mendedahkan 22.3 peratus responden akan memilih PDI-P sekiranya pilihan raya diadakan sekarang.

Parti Gerindra ditempat kedua dengan 17.8 peratus, di ikuti Parti Golkar (10.9 peratus) dan Parti Demokrat (10.8 peratus), kata penyelidik kanan IPS, Alfin Sugianto dalam satu kenyataan.

Daripada segi parti mana mengambil berat akan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat, 20.1 peratus responden menganggap PDI-P sebagai paling prihatin diikuti Gerindra 16.4 peratus, katanya.

IPS melakukan tinjauan itu dari 1-8 Ogos di 34 wilayah di seluruh Indonesia melibatkan 1,220 responden dengan margin ralat 2.8 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.

Mengenai persepsi pengundi terhadap calon presiden, Alfin berkata,Prabowo berada di tempat pertama dengan undian 30.2 peratus diikuti Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo dengan 19.8 peratus dan Gabenor Jakarta Anies Baswedan dengan 18.9 peratus.

Alfin berkata secara umumnya tiada sebarang perubahan dalam pilihan calon presiden berbanding tinjauan sebelum ini.

Bagaimanapun, peratusan Prabowo meningkat meskipun tidak melakukan banyak gerakan dalam masyarakat, manakala peratusan calon lain yang aktif di media sosial dan akar umbi pula tidak berubah.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 22 parti politik telah mendaftar dengan Komisi Pemilihan Umum untuk bertanding pada pilihan raya 2024 setakat Rabu.

Terdapat 10 parti politik lagi dijangka mendaftar manakala 10 parti politik belum memaklumkan rancangan mereka, kata KPU dalam satu kenyataan.

Indonesia bakal mengadakan pilihan raya serentak pada 14 Februari 2024 untuk memilih presiden dan naib presiden bersama anggota dewan perundangan negara itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!