Lebih 7,000 jalur gemilang berkibaran di Labuan

 Ab Rasil (empat dari kiri) bersama petugas-petugas bergambar sambil mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan bangunan Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Labuan pada Khamis. -Foto Bernama
Ab Rasil (empat dari kiri) bersama petugas-petugas bergambar sambil mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan bangunan Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Labuan pada Khamis. -Foto Bernama
A
A
A
LABUAN - Sebanyak 7,180 jalur gemilang kini megah berkibaran di segenap pelusuk pulau bebas cukai di sini bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Di sepanjang jalan utama menuju pusat bandar, jalur jemilang dipacak dan digantung di semua tiang lampu jalan yang membuktikan bahawa Labuan tidak mahu ketinggalan dalam kempen pelancaran Bulan Kebangsaan serta Kibar Jalur Gemilang.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, sebanyak 4,330 jalur gemilang dikibarkan di semua jalan protokol, premis kerajaan dan Taman Botanikal.

Beliau berkata, sebanyak 1,350 jalur gemilang juga telah diserah kepada 27 ketua kampung untuk dikibarkan di halaman rumah di kampung masing-masing.

"Marilah kita bersama-sama menzahirkan semangat patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap premis kediaman, pejabat mahupun kenderaan masing-masing.

"Semangat kemerdekaan ini perlu digarap oleh semua lapisan masyarakat... ia menjadi inspirasi dalam memelihara kerukunan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum khususnya di Labuan ini,” katanya pada Khamis.

Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Ab Rasil Hajatil pula berkata, sebanyak 1,500 jalur gemilang diserahkan kepada enam komuniti Keluarga Malaysia di sini.

Beliau berharap pemimpin komuniti memberikan kerjasama dalam membantu kerajaan menyemarakkan sambutan setahun sekali ini.

"Tidak dinafikan setiap kali tibanya bulan Ogos, isu semangat patriotisme sering menjadi bualan masyarakat. Patriotisme perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

"Sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!