'Sepatutnya ada layangan kad merah'
SAINGAN Liga Super yang menemukan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) menarik perhatian peminat bola sepak tanah air susulan satu insiden kekasaran pada babak kedua dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.
Dalam insiden pada minit ke-75 itu, pemain TFC, Muhammad Syafik Ismail cuba mengejar bola, namun menerima terjahan keras yang dianggap berbahaya daripada pemain JDT, Hong Wan sehingga menyebabkan Syafik melambung.
Pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir menghentikan perlawanan, namun tiada tindakan atau sebarang layangan kad kepada Hong Wan yang sebelum itu sudah memiliki kad kuning.
Keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan warganet di media sosial bertanyakan mengenai insiden tersebut kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang mengakui Hong Wan sepatutnya dilayangkan kad merah.
Beliau berkata, terjahan yang dilakukan Hong Wan dilihat sebagai berbahaya dan mampu memberikan impak kecederaan kepada Syafik.
"Berdasarkan pemerhatian di dalam video. Soalannya, adakah cabaran yang dilakukan Blue-6 (Hong Wan) membahayakan keselamatan lawannya sebelum dikategorikan sebagai 'serious foul play'?
"Pemerhatian saya, Blue-6 berlari dari satu jarak dan melakukan aksi 'sliding tackle' pada kelajuan tinggi serta gagal mengawal badannya yang terus 'menggelongsor' dan menyebabkan 'force' berterusan di 'point of contact' lawannya.
"Kaki Blue-6 lurus dan penggunaan stud adalah jelas semasa terjahan dilakukan. Saya berpendapat Blue-6 bersalah untuk kesalahan 'serious foul play' dan kad merah sepatutnya diberikan," ujar Subkhiddin menjawab pertanyaan penyokong menerusi akaun Twitternya.
Justeru Subkhiddin menasihatkan para pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) agar lebih berhati-hati pada masa hadapan sebelum melakukan sebarang terjahan ke atas pemain lawan ketika beraksi.
“Dalam bola sepak ada satu prinsip iaitu protect the safety of the player. Prinsip ini melibatkan cabaran untuk melindungi rakan di atas padang, walaupun daripada pasukan berlainan.
“Terjahan ke atas lawan ini serius dan kita tidak boleh kawal sebenarnya. Macam lompat jauh memang susah untuk kita kawal hentakan yang berlaku. Jadi apabila terjahan yang dilakukan kepada pihak lawan bakal berikan kesan kecederaan apabila mengenai lutut atau kaki," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Beliau memberitahu, karier profesional bagi pemain bola sepak tidak lama iaitu sekitar 30-an dan jarang yang boleh beraksi dalam lingkungan usia 40 tahun dan ke atas.
Tambahnya, sekiranya mengalami kecederaan dan tidak dapat bermain, karier mereka mungkin akan bertambah pendek.
“Pemain perlu berhati-hati dan sentiasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan rakan-rakan. Jangan fikir hanya pasukan kita, kena fikir pasukan lain juga kerana ia juga merupakan ‘periuk nasi’ mereka.
"Bagi yang melakukan terjahan pula mungkin berdepan tindakan seperti denda dan sebagainya,” katanya.
Subkhiddin turut menjelaskan, ulasannya di laman Twitter berkenaan bola sepak terutama daripada aspek pengadilan adalah untuk membincangkan mengenai undang-undang dalam sukan tersebut.
“Dalam Twitter kita bincang pasal undang-undang bola sepak. Penting untuk masyarakat tahu dan faham undang-undang ini.
“Lagi pun, benda ini umum. Jadi kalau faham, mereka akan lebih enjoy the game. Kalau tidak, jadi tak menarik bola sepak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!