Pelancong China berkurang sejak PH berkuasa tidak benar
BALIK PULAU - Malaysia merupakan destinasi paling diminati pelancong China dan merekodkan kehadiran paling tinggi ke negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Beliau berkata kedatangan pelancong China menunjukkan peningkatan 20 hingga 30 peratus sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pelancong China semakin berkurangan mengunjungi negara ini.
“Kami mendapati jumlah pelancong China sebenarnya menunjukkan kenaikan yang mendadak, kalau berdasarkan statistik bulan September tahun ini, jumlah pelancong China yang datang ke Malaysia sudah sama dengan keseluruhan jumlah pada tahun lepas.
“Jika tahun lalu pelancong China yang datang adalah sebanyak 2.2 juta, pada bulan Oktober tahun ini sudah mencapai 2.5 juta orang dan kami unjurkan mungkin boleh mencapai sehingga angka 3 juta pelancong,” katanya kepada pemberita pada majlis Fun Ride Kayuhan Boria Sempena Festival Boria 2018 di sini hari ini.
Justeru dengan peningkatan angka kemasukan itu beliau menegaskan dakwaan pihak tertentu bahawa kehadiran pelancong China semakin berkurangan dan mengelak untuk datang ke Malaysia, adalah salah.
“Mereka silap fakta, mereka kata sejak kerajaan PH mengambil alih, pelancong China mengelak untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Bakhtiar berkata selepas China, pelancong kedua paling ramai adalah dari Singapura diikuti Indonesia dan Brunei.
Malahan Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata kedatangan pelancong dari negara Korea juga semakin meningkat dengan kehadiran lebih 500,000 orang pada tahun ini berbanding 484,528 orang pada tahun lepas.
Keseluruhannya sehingga bulan September 2018, kita hanya mengalami pengurangan 0.1 peratus sahaja daripada tahun lepas, ini disebabkan peratus pelancong dari Singapura yang berkurangan, mungkin sebab masalah kesesakan.
“Tetapi keseluruhan pelancong dari negara lain meningkat. Hujung tahun ini insya-Allah akan naik balik sebab bulan Disember adalah cuti persekolahan. Bukan melihat kepada pelancong asing sahaja, malah pelancong domestik juga semakin bertambah,” katanya.
Beliau turut menjangkakan kemasukan pelancong ke negara ini sebanyak 26.4 juta tahun ini dan melebihi sasaran tahun lepas iaitu 25.9 juta pelancong.
Beliau berkata sektor pelancongan memainkan peranan penting kerana ia melibatkan 3.4 juta pekerja dalam industri ini jadi negara perlu memastikan kesinambungan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.
Terdahulu berhubung Festival Boria 2018, Bakhtiar berkata boria perlu dimartabatkan semula agar ia tidak hilang ditelan zaman berikutan persembahan boria sangat sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memartabatkan semula boria kerana kita tidak mahu boria ini semakin pupus. Dulu kita lihat boria ini hanya aktif kalangan kaum lelaki kini persembahan boria turut disertai golongan perempuan.
“Maka kita harap dengan pendedahan kepada orang muda, pelajar sekolah rendah dan menengah ini dapat mengenal mengenai boria dan diharap budaya ini terus kekal,” katanya.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!