LCS: Anwar tidak mahu bahas, nak lihat tindakan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, pada Khamis.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mendesak supaya mengenakan hukuman terhadap pesalah dalam skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) kini dilihat lebih penting berbanding langkah mengadakan sidang tergempar di Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fakta mengenai kes tersebut sudah jelas.

“Saya tidak cenderung nak bahas lagi kerana saya mahu tindakan diambil. Faktanya sudah terlalu jelas bukan untuk dibahas lagi,” kata Anwar dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, pada Khamis.

Beliau ditanya mengenai pendiriannya berhubung keperluan untuk mengadakan sidang tergempar di Parlimen bagi membahaskan skandal LCS.

Tiga Ahli Dewan Negara pada Selasa mencadangkan supaya isu berhubung projek pembinaan LCS dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat.

Cadangan itu dikemukakan Lim Hui Ying, Fadhlina Sidek dan Datuk A Kesavadas Nair yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, mengenai perkembangan baharu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anwar berkata, meskipun beliau menyambut baik perkara tersebut, ia dilihat lambat memandangkan isu tersebut telah lama timbul.

“Saya alu-alukan (siasatan) tapi akan panggil, akan panggil, macam pelik. Isu ini dah lama. Pada tahun 2020 Menteri Pertahanan ketika itu sudah buat kenyataan berdasarkan Laporan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Kementerian Pertahanan.

“Jadi, pada 3 Ogos (2020), menteri dah bagi penjelasan. Sekarang dah dua tahun, baru nak panggil. Silakan panggil dengan cepat,” kata Anwar.

Pada Khamis, SPRM mengumumkan melengkapkan beberapa kertas siasatan berhubung skandal perolehan LCS dan akan mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!