KPM perkasa teknologi digital bidang pertanian di KV, SMT

Mohd Radzi -Foto Bernama
Mohd Radzi -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini berusaha memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam bidang pertanian yang ditawarkan di Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini bagi memastikan pelajar lepasan bidang tersebut bersedia bersaing di pasaran kerja mahupun menjadi usahawan dalam bidang pertanian.

"Kami di KPM sentiasa berusaha untuk pastikan kursus berkaitan pertanian yang ada di KV dan SMT menggunakan pendekatan dan teknologi terkini bagi membolehkan mereka yang tamat belajar nanti sama ada akan ke bidang keusahawanan atau bekerja, sekurang-kurangnya mereka bersedia bersaing di luar sana.

"Pendekatan ini juga kita sedang usahakan dalam kalangan guru supaya mereka dapat meningkatkan cara dan kaedah pengajaran dalam bidang pertanian ini dengan pembentukan modul baharu bagi melahirkan anak-anak yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan dalam pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Wacana Dr Radzi Jidin Ekplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.

Menurutnya, dalam usaha menarik minat anak muda dalam bidang pertanian moden, KPM turut menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk memberi gambaran sebenar kepada pelajar mengenai keupayaan teknologi digital menghasilkan produk bernilai tinggi yang diperlukan pasaran.

Sebelum itu, Mohd Radzi ketika sesi wacananya berkata, persepsi bahawa bidang pertanian sesuatu yang kotor, bahaya dan sukar perlu diubah kerana bidang itu mampu menjana pendapatan dan kekayaan.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga tingkatan lima, beliau berkata, KPM sentiasa melihat penambahbaikan yang boleh dibuat terhadap akta itu.

"Kami sentiasa melihat apa penambahbaikan yang boleh dibuat, namun dalam masa sama kami juga melihat dari pelbagai sudut bukan secara umum tetapi perlu secara mendalam dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk aspek penguatkuasaannya,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!