'Pergilah Houston'
PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi perlu menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi terbaik untuk ‘berguru’ bagi merealisasikan impiannya bergelar atlet bertaraf dunia.
Malah, bekas atlet lompat kijang negara, Zaki Sadri yang pernah berkelana di negara Uncle Sam itu menyarankan Azeem memilih Universiti Houston yang menawarkan peluang pengajian terbaik dan seimbang dalam bidang sukan serta akademik.
Beliau berkata, AS merupakan destinasi terbaik buat atlet seluruh dunia berlatih dan menjadi pilihan pelari dari negara Afrika, China serta Jepun yang sudah lama ‘berguru’ di negara itu bagi mengembangkan kerjaya mereka dalam olahraga.
“Ini adalah masa terbaik buat Azeem kerana dia masih muda. Peraturan bagi pelajar luar dari AS yang ingin menyambung pengajian perlu berusia di bawah 23 tahun.
“Bagi saya, Universiti Houston adalah yang terbaik kerana Azeem berpeluang ‘berguru’ dengan legenda pelari pecut dunia, Carl Lewis dan Leroy Burrell,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada Rabu, Azeem yang kini pemegang rekod acara 100 meter (m) kebangsaan dilapor mahu menimbangkan semula keputusan untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Houston.
Ia berikutan Azeem turut menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada beberapa universiti lain di negara itu termasuk Universiti Auburn yang memiliki taraf akademi terbaik berbanding universiti sukan lain.
Zaki yang pernah mengikuti program dan latihan olahraga di University of Arkansas sekitar tahun 1990-an turut meminta Azeem agar tidak terlalu risau dengan kehidupan di negara besar berkenaan kerana apa yang penting atlet itu sedia berubah.
“Kita perlu berubah untuk mengejar impian bergelar juara dan atlet bertaraf dunia. Bukan berubah dari segi akidah sebab ia pegangan kita tetapi dari segi makanan, persekitaran dan kehidupan.
“Saya percaya Azeem seorang yang positif mampu mengikuti segala proses itu menerusi keazaman dan tekad yang kuat. Ia bukan soal jurulatih semata-mata tetapi aspek latihan dan persaingan kerana akan berlumba dengan atlet terbaik dari seluruh dunia,” katanya.
Menurut Zaki, rakannya, Waihon Liew yang merupakan bekas atlet lompat jauh mempunyai hubungan kerja dengan Universiti Houston dan bersedia membantu Azeem merealisasikan impiannya berkelana ke AS.
“Waihon menetap di AS. Beliau seorang pendidik dan jurulatih peribadi. Beliau yang membantu atlet negara, Shereen Vallabouy menyambung pengajian di Universiti Winona State, Minnesota,” jelasnya.
Minggu lalu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.
Pelari berusia 18 tahun dari Ipoh, Perak itu memadam rekod lama 10.18s yang dicipta bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.
Dalam pada itu, Zaki berkata, Azeem boleh menggunakan beberapa saluran untuk berbincang mengenai dilema yang dihadapi selain
berkaitan penajaan termasuk dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Tambahnya, berdasarkan pencapaian dalam akademik yang meraih 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan catatan rekod terbaik 10.09s dalam acara 100m Azeem mungkin berpeluang menyambung terus pengajian ke universiti dan boleh menyertai Divisyen Satu Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).
"Syarat untuk menyertai divisyen ini ketat iaitu atlet perlu memiliki catatan rekod bawah 10.19s. Jika mempunyai
rekod 10.21 hanya layak untuk menyertai Divisyen Dua," katanya.
Zaki turut menyebut nama seorang atlet Jepun yang berjaya membuat catatan terbaik hasil didikan di salah sebuah universiti di AS.
Katanya, atlet dari Jepun Abdul Hakim Sani Brown, 23, menuntut di Universiti Florida menyertai Sukan Olimpik
Tokyo 2020 setelah membuat catatan 9.99s pada 2019.
"Saya percaya andai Azeem berlatih di AS dalam tempoh satu atau dua tahu, dia mampu membuat catatan di bawah 10s," katanya.
Zaki merupakan pemegang pingat emas lapan kali sepanjang menyertai temasya Sukan SEA pada tahun 1990-an. Pencapaian terbaik bekas atlet yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu ialah dalam acara lompat kijang dengan catatan 16.29 meter pada 1989.
Bagaimanapun, rekod itu berjaya dipecahkan selepas 25 tahun oleh Mohammad Hakimi Ismail menerusi rekod baharu 16.76m yang dilakukannnya pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!