Golongan B40, M40 ubah corak perbelanjaan harian isi rumah
SHAH ALAM - Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebahagian yang berpendapatan sederhana (M40) didapati terpaksa mengubah corak perbelanjaan harian mereka akibat peningkatan harga barangan pada masa kini.
Memetik laporan media Astro Awani, situasi tersebut menyebabkan kuasa beli isi rumah berkurang dan ia memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40.
Antara perubahan corak perbelanjaan harian yang dilakukan adalah membeli barang keperluan pada kuantiti yang kecil dan memilih kedai menawarkan harga barangan lebih murah.
Perkara itu antara dapatan yang dinyatakan melalui Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.
Laporan tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik mekanisme dasar menangani kos sara hidup.
Sejumlah 76.9 peratus responden didapati mengalami peningkatan dalam perbelanjaan bulanan sehingga ada di antara mereka mengalami peningkatan lebih 100 peratus jika dibandingkan dengan perbelanjaan biasa.
Dalam kajian berkenaan, majoriti responden iaitu sebanyak 33 peratus memaklumkan perbelanjaan mereka bertambah sekurang-kurangnya 20 peratus ke bawah.
Selain itu, 19.8 peratus responden pula memaklumkan perbelanjaan mereka meningkat antara 41 hingga 60 peratus, dengan 15.4 peratus pula akui mengalami peningkatan perbelanjaan antara 21 hingga 40 peratus.
Sehubungan itu, secara majoritinya responden menyifatkan peningkatan harga barang semasa telah mengurangkan kuasa beli isi rumah serta mengubah corak perbelanjaan.
Dalam pada itu, 81.3 peratus responden didapati membeli barang di kedai berbeza pada harga yang lebih murah berbanding hanya 41.8 peratus sebelum kenaikan harga berlaku.
Selain daripada itu, 78 peratus responden menukar pembelian mereka di kedai lebih murah dan 76.9 peratus kini memilih untuk membeli barang pada kuantiti yang kecil.
Di samping itu, mereka kini membuat perancangan sebelum berbelanja (73.6 peratus), membeli barang berkualiti rendah (70.3 peratus), menukar kedai bagi mengelakkan pembelian impulsif (41.8 peratus) dan hanya 7.7 peratus memilih untuk membeli barang berkualiti tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!