Lelaki cuba ceroboh pejabat FBI mati ditembak
WASHINGTON - Seorang lelaki bersenjata yang cuba menceroboh bangunan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis akhirnya meninggal dunia selepas berbalas tembakan dengan beberapa pegawai penguat kuasa undang-undang.
Insiden itu menarik perhatian kerana ia berlaku hanya beberapa hari selepas FBI menggeledah rumah bekas Presiden AS, Donald Trump di Florida baru-baru ini.
FBI berkata, pada pagi Khamis seseorang yang bersenjata telah cuba melanggar kawalan kemasukan ke pejabat FBI di bandar raya Cincinnati.
"Apabila penggera diaktifkan dan tindak balas oleh ejen-ejen khas FBI, subjek (lelaki bersenjata) itu melarikan diri," kata FBI dalam satu kenyataan.
Menurut media tempatan, lelaki itu melepaskan pistol paku dan mengacukan senapang sebelum melarikan diri dengan kereta.
Jurucakap polis berkata, kenderaan itu dikejar oleh penguat kuasa undang-undang dan ia berhenti di kawasan luar bandar.
Sebaik kenderaan itu berhenti, berlaku kejadian berbalas tembakan antara pegawai di tempat kejadian dan suspek.
Anggota penguat kuasa kemudian cuba berunding dengan suspek tetapi dia tidak mahu menyerah diri, jurucakap itu memberitahu sidang akhbar selepas kejadian tersebut berakhir.
Selepas suspek mengangkat senjata ke arah polis, pegawai penguat kuasa undang-undang kemudian menembaknya dan dia meninggal dunia akibat kecederaan di tempat kejadian, kata jurucakap itu.
Pegawai persekutuan berkata, suspek itu dikenali sebagai Ricky Shiffer, 42.
Menurut Reuters, lelaki itu memberi amaran tentang serangan di Truth Social iaitu medium sosial yang dicipta oleh Trump.
"Jika anda tidak mendengar daripada saya, memang benar saya cuba menyerang FBI," kata mesej itu di laman tersebut.
Semakan portal berita USA TODAY menunjukkan dia pernah menyiarkan reaksi marah terhadap berita tentang serbuan FBI di rumah Trump di Mar-a-Lago Florida. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!