Perak menang tipis di Ipoh
IPOH - Perak terpaksa bekerja keras di laman sendiri untuk melangkah ke peringkat seterusnya setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Stadium Perak, sebentar tadi.
Perak memulakan percubaan awal pada minit ke-2 perlawan melalui sepakan penyerang import, Gilmar Filho namun tersasar.
Pemain Negeri Sembilan, Muhammad Ferris Danial juga menguji gawang Perak pada minit ke-5 akibat kesilapan Kenny Pallraj namun berjaya ditampan penjaga gol Hafizul Hakim.
Hantaran Muhammad Izuan kepada Muhammad Ferris Danial hampir menghasilkan gol pada minit ke-19 bagaimanapun ia sekadar singgah ke tiang gol kanan Perak.
Peluang terbaik Perak hadir pada minit ke-32 tetapi Gilmar gagal memanfaatkan peluang hasil hantaran Shahrel Fikri namun tendangan tersasar.
Tuan rumah akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman apabila Nazirul Naim Che Hashim menjaringkan gol hasil hantaran Wander Luis pada minit ke-40.
Dua minit berselang, Gilmar sekali lagi gagal memanfaat dua peluang untuk menjaringkan gol namun dapat dibaca Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir kepada Jose Almir kerana mengasari Leandro pada minit 43.
Sejurus kemudian, giliran Kenny Pallraj pula dilayang kat kuning pada minit akhir perlawanan selepas mengasari pemain Negeri Sembilan.
Babak kedua perlawanan, Perak membuat pertukaran dengan memasukkan Muhammad Firdaus Saiyadi menggantikan Kenny Pallraj.
Skuad kendalian Mehmed Durakovic mendapat peluang pada minit 49 namun cubaan Shahrel Fikri pada minit 49 tersasar.
Negeri Sembilan kemudiannya membuat pertukaran dengan memasukkan Dzulfahmi Abdul Hadi menggantikan Mohammad Ridzuan Abdunloh pada minit ke-63 diikuti Perak pada minit ke-65 mengeluarkan import, Wander Luis dengan memasukkan J Partiban.
Asakan demi asakan Negeri Sembilan membuahkan hasil apabila penyerang import mereka, Jose Almir Barros berjaya menanduk masuk hasil sepakan percuma Shunsuke Nakate menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67.
Perak kemudiannya terus mengasak kubu lawan memberikan tekanan.
Hasilnya, Shahrel Fikri berjaya menjaringkan gol pada minit ke-78 hasil hantaran J Partiban sekaligus mendahului anak buah Mat Zan Mat Aris dengan kedudukan 2-1.
Bagaimanapun Shahrel Fikri dilayangkan kad kuning kerana membuka baju ketika meraikan jaringan pertamanya untuk Perak.
Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan Perak mengiringi PKNP FC ke pusingan ketiga Shopee Piala FA Malaysia 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!