Ujian sebenar Spurs, Chelsea
TOTTENHAM Hotspur dan Chelsea akan berdepan ujian sebenar apabila bakal beradu kekuatan pada perlawanan kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
Spurs yang dibimbing Antonio Conte memulakan langkah pertama dengan bergaya setelah membenam cabaran Southampton 4-1.
Berbanding Chelsea yang dipimpin Thomas Tuchel, biarpun menang 1-0 ke atas Everton, namun aksi anak-anak buahnya belum meyakinkan.
Conte dilihat belum menampilkan kekuatan sebenar mereka biarpun menandatangani enam muka baharu iaitu Richarlison, Yves Bissouma, Ivan Perisic, Djed Spence, Clement Lenglet dan Fraser Forster pada jendela perpindahan lalu.
Tiada seorang pun daripada mereka diturunkan pada aksi pertama minggu lalu dan mungkin berpeluang menunjukkan taring pada perlawanan di Stamford Bridge Ahad ini.
Bagaimanapun congakan atas kertas Spurs hanya menang sekali dalam liga di Stamford Bridge sepanjang 32 tahun dan menewaskan Blues akan memberikan petunjuk bahawa mereka boleh mengurangkan jurang dengan Manchester City dan Liverpool.
Bagi Chelsea pula, aksi pertama mereka kurang menyengat apabila jaringan kemenangan 1-0 ke atas Everton hanya dihasilkan menerusi sepakan penalti Jorginho.
Tuchel menuntut para pemain untuk bangkit hujung minggu ini, namun dia percaya Chelsea akan menjadi lebih baik selepas musim sukar pada 2022 apabila kelab itu berdepan penggantungan sebelum konsortium diketuai Todd Boehly mengambil alih daripada Roman Abramovich.
Pemilik dari Amerika Syarikat itu tidak menoleh ke belakang sebaliknya menyokong Tuchel dengan mendapatkan Raheem Sterling, Kalidou Koulibaly, Marc Cucurella dan Carney Chukwuemeka.
Di sebalik misi memburu kemenangan kedua itu, Raheem Sterling percaya prestasi permainan Chelsea akan meningkat dan dia juga akan menjelaskan kenapa meninggalkan Manchester City.
"Anda lihat di Chelsea sejak beberapa tahun lalu, mereka berada dalam empat atau lima final.
"Mereka adalah pasukan yang menunjukkan bahawa mereka sentiasa bersaing dan mereka hanya akan menjadi lebih bagus. Jadi dengan pemilik baharu ia boleh dilakukan," ujar pemain antarabangsa England itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!