Remaja diberkas tumbuk guna rantai basikal

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang remaja diberkas selepas mencederakan seorang individu menggunakan rantai basikal yang diubah suai dalam pertengkaran di gelanggang futsal di Tasik Tambahan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa bersama rakan-rakannya bermain futsal dengan pasukan sekolah lain di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati mangsa melihat salah seorang ahli pasukan futsal lawan membuat serangan di bahagian kaki dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

"Suspek yang berumur 17 tahun iaitu rakan salah seorang dari pasukan lawan tersebut dengan memegang buku lima di tangan lalu menumbuk mangsa di bahagian rusuk kiri, dan siku," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek turut cuba bertindak menumbuk adik mangsa namun sempat ditarik.

"Suspek yang masih bersekolah itu kemudiannya ditahan bersama rampasan satu alat rantai basikal yang telah diubah suai dan dibawa ke IPD Ampang Jaya bagi siasatan lanjut.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kejadian adalah perselisihan faham ketika bermain futsal.

"Kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!