Bangkai anak penyu agar ditemukan terdampar di pantai

Seekor anak penyu agar ditemukan mati di pantai Beting Lintang, Besut pada Khamis.
Seekor anak penyu agar ditemukan mati di pantai Beting Lintang, Besut pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa pelanggan dan pemilik sebuah kedai makan terkejut apabila menemui bangkai seekor anak penyu agar di pantai Beting Lintang, Besut pada Khamis.

Aktivis Geng Plastik Ija (GPI), Afifah Ab Aziz, 40, berkata, kemunculan anak penyu yang terdampar berdekatan kedai makan itu disedari kira-kira jam 12 tengah hari.

"Saya dapat tahu mengenai penemuan bangkai penyu itu oleh seorang rakan yang memuat naik gambar di laman sosial Facebook.

"Sebaik dapat tahu, saya bergegas bersama seorang lagi ahli GPI Besut, Nor Ainsyafikah Madiran, 25, ke lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Menurut Afifah, maklumat berkaitan penemuan bangkai penyu itu belum dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu oleh orang awam.

"Kami tiba di lokasi penemuan bangkai itu pada 6 petang. Ketika sampai kami dimaklumkan bangkai sudah ditanam.

"Jadi, kami terpaksa mengorek semula bangkai tersebut untuk mengambil ukuran dan beberapa maklumat berkaitan untuk dilaporkan kepada Jabatan Perikanan," katanya.

Afifah berkata, difahamkan bangkai itu adalah yang pertama ditemui di pantai berkenaan pada tahun ini dan punca kematian haiwan itu diharap dapat diketahui secepat mungkin.

"Ada dalam kalangan orang awam yang tidak tahu tindakan yang betul perlu dilakukan apabila terjumpa bangkai penyu atau sebarang spesies haiwan terancam sama ada yang masih hidup atau mati.

"Kita harap jabatan dan agensi kerajaan terlibat perlu memperhebatkan lagi kempen kesedaran dan hebahan maklumat supaya lebih ramai tahu cara untuk bertindak sekiranya berada dalam situasi itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!