'Saya tidak tahu soal calon PRU15' - Syed Ibrahim
KUANTAN - Penentuan calon UMNO-BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Pahang bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, soal calon sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di luar pengetahuannya termasuk desas-desus berhubung anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nizar Najib yang dikatakan akan bertanding di Pekan pada PRU15.
Beliau mengakui tidak tahu tentang perkara itu sama ia hanya spekulasi atau sebaliknya.
"Saya tidak terlibat dalam perbincangan soal calon jadi perkara ini perlu dirujuk kepada pihak yang lebih berautoriti untuk pengesahan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Spekulasi Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan akan bertanding dalam kawasan Parlimen Pekan muncul susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan terakhir Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Sebelum ini, nama Mohd Nizar antara yang disebut-sebut menjadi calon BN bagi merebut kerusi DUN Chini susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei 2020.
Bagaimanapun, BN kemudiannya memilih Mohd Sharim Md Zain sebagai calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini sekali gus mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!