Maxis perkasa inovasi industri runcit melalui ComeBy

Dari kiri: Barry Oi dan Arjun Thomas.
Dari kiri: Barry Oi dan Arjun Thomas.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MAXIS memperkasakan inovasi industri runcit melalui usaha niaga bersama syarikat pemula analisis runcit tempatan, ComeBy sejajar dengan ekonomi digital.

Inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen Maxis dalam pembangunan usaha niaga korporat dan strategi untuk menyokong syarikat pemula serta perniagaan yang didorong oleh teknologi.

Ketua Jenama dan Pemasarannya, Tai Kam Leong berkata, sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka negara, Maxis memanfaatkan rangkaiannya dengan menyediakan akses teknologi dan rangkaian manusia untuk menggandakan ekonomi tempatan.

“Kami berbesar hati dengan momentum kegiatan usaha sama kami. Ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memupuk inovasi tempatan.

“Pelaburan kami dalam ComeBy akan memperkasakan usahawan dan perniagaan tempatan yang mampu memberi impak kepada industri melalui inovasi digital.

“Kami yakin pendekatan inovatif ComeBy terhadap data pembeli boleh memberikan peluang baharu untuk peruncit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, rakan pengasas ComeBy, Barry Oi pula berkata, usaha niaga itu menarik kerana ia akan membantu syarikat berkembang lebih pantas melalui rangkaian Maxis.

“Selain daripada pelaburan kewangan yang membantu kami mengembangkan pasukan dan meningkatkan skala dengan lebih segera, kami teruja untuk memanfaatkan rangkaian rakan niaga Maxis yang luas serta sumber teknologi yang menyeluruh,” ujarnya.

ComeBy memberikan peruncit luar talian maklumat tentang pilihan pembeli individu sebelum pembayaran.

Dengan gabungan pengesanan aktif dan pasif, syarikat tersebut meningkatkan penglibatan dan mengoptimumkan penjualan dalam kedai, pemasaran semula dan perdagangan.

ComeBy telah memulakan ujian perintis dengan beberapa rakan niaga runcit terkemuka seperti Senheng, malah mengalu-alukan peruncit yang berminat untuk melayari laman web mereka di ComeBy.io.

Sebelum ini, Maxis mengumumkan penglibatannya dalam pembinaan usaha niaga dengan syarikat pemula pendidikan teknologi Gurulab.

Maxis juga membangunkan beberapa program inovasi dengan ekosistem pemula menerusi pelbagai inisiatif seperti Maxis IoT Challenge, siri SPARK, Market Access Day, dan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!