Tular individu dipercayai wanita tunai umrah pakai ihram lelaki
SHAH ALAM - Tular sebuah video di sosial media pada Khamis mengenai seorang individu dipercayai wanita dari Malaysia yang menunaikan umrah dengan memakai ihram lelaki.
Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di bebenang Twitter pemilik akaun, @Aliyameha itu menunjukkan individu terbabit sedang merakam dirinya di hadapan kaabah.
Menurut @Aliyameha, keputusan memuat naik dan kongsikan video tersebut kerana individu itu telah membuat banyak penipuan berkaitan status jantinanya kepada orang lain sehingga berani memainkan hukum ALLAH.
Pada bebenang sama, @Aliyameha mendakwa individu di dalam video tersebut juga pernah mengajaknya untuk berkahwin meskipun mereka memiliki jantina yang sama.
“Ini bukti aku ada conversation (perbualan) yang dia ajak kahwin. Kalau normal ‘pengkid’, mereka tak mental lagi suruh kahwin macam ni,” ciapnya pada Khamis sambil turut kongsikan tangkap layar bukti perbualan berkenaan.
Katanya, banyak juga saksi telah tampil daripada sosial media, TikTok yang mendedahkan bahawa individu tersebut menipu status jantinanya dengan memberikan nombor kad pengenalan palsu.
Pemilik akaun @Aliyameha itu turut mendakwa mengetahui maklumat peribadi individu tersebut termasuk tempat mengundi, nombor kad pengenalan dan lesen.
Dalam pada itu, rata-rata netizen yang memberikan komen terhadap video tersebut menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau.
Malah, ada juga komen yang mempersoalkan kewarasan individu dalam video tersebut.
“This is actually crazy (ini sebenarnya gila),” ciap pemilik akaun @holysh1zzle.
Bagi pemilik akaun @Zulhlmhzq pula mempersoalkan bagaimana indvidu tersebut boleh terlepas untuk melakukan ibadah tersebut di Makkah dengan berpakaian sedemikian.
“Agensi mana yang lepaskan?” soalnya.
Terdapat juga netizen yang meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu terbabit.
“Pengkid berlagak seperti seorang lelaki, menghina agama dgn kelakuan begini di tanah suci. Mohon pihak berkuasa agama tidak berdiam diri dan mengambil tindakan segera,” ciap pemilik akaun Twitter, @insanulatiff.
Dalam pada itu, sehingga kini video tersebut mendapat lebih 210,300 tontonan sejak dimuat naik jam 10 pagi dan meraih 1,407 ulang ciap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!