PLSB fasa lima dijangka bermula Januari depan
SEREMBAN - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi fasa lima melibatkan hilir Sungai Linggi di Kampung Nyatoh sehingga ke Kampung Jerlang, daerah Seremban dijangka bermula Januari tahun depan.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, projek sepanjang 21 kilometer berkenaan adalah kesinambungan kepada PLSB Sungai Linggi fasa satu hingga tiga yang telah siap masing-masing pada tahun Disember 2012, September 2013 dan fasa 3 siap pada September 2016.
"Manakala, PLSB Sungai Linggi fasa empat sedang berjalan iaitu melibatkan jajaran sungai sepanjang 10 kilometer menelan kos sebanyak RM66 juta.
" PLSB fasa lima pula dijangka bulan Januari ini akan dapat surat setuju terima untuk mulakan projek dan dijangka siap pada tahun 2030," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, usaha ini adalah bagi menangani isu-isu banjir disebabkan oleh limpahan sungai terutamanya tebing Sungai Linggi yang melalui beberapa kawasan perumahan di Parlimen Rasah sebelum ke muaranya di Linggi.
"Antara kawasan yang dilalui oleh Sungai Linggi termasuk Kampung Kampung Pasir, Kampung Dato' Mansur, Kampung Singh, Taman Happy, Kampung Batu 3, Mambau dan Kampung Sri Mantau," katanya.
Sebelum ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk projek tebatan banjir Sungai Linggi.
Aminuddin turut menjelaskan projek itu dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan seperti Rasah dan Rahang dan ketika ini sedang menunggu kelulusan untuk fasa lima sebelum dimulakan pada tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!