Pertumbuhan suku kedua KDNK cemerlang: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PERTUMBUHAN suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang agak cemerlang sebanyak 8.9 peratus, yang mendorong pertumbuhan KDNK pada separuh pertama tahun ini kepada 6.9 peratus, mencerminkan 'pertumbuhan suku ketiga yang sama kukuh', kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka kekal mantap pada suku ketiga, didorong oleh prestasi yang menggalakkan dalam perdagangan asing dan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Oleh itu, kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran pertumbuhan KDNK 2022 secara rasmi sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

Menurut Tengku Zafrul lagi, ekonomi Malaysia telah meneruskan momentum pemulihannya memandangkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua telah melangkaui pengembangan 5 peratus pada suku pertama serta mengatasi prestasi ekonomi beberapa negara maju termasuk serantau seperti China (0.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus) dan Singapura (4.4 peratus).

Beliau mengaitkan prestasi suku kedua yang kukuh ini kepada dasar pengembangan fiskal melalui Belanjawan 2022, limpahan positif daripada bantuan kewangan serta pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 termasuk dasar monetari yang kekal akomodatif.

Pertumbuhan suku kedua juga disokong terutamanya oleh pertumbuhan 18.3 peratus dalam penggunaan swasta (berbanding pertumbuhan 5.5 peratus pada suku pertama 2022) berikutan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

"Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan kekal berhati-hati ke atas prestasi separuh kedua tahun ini, disebabkan prospek ekonomi masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan yang lebih perlahan berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang disumbangkan oleh konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan, serta kelembapan ekonomi China akibat pelaksanaan langkah-langkah pembendungan Covid-19 yang ketat.

"Selain itu, tekanan inflasi yang lebih tinggi disebabkan oleh jangkaan kenaikan harga komoditi dan makanan serta gangguan rantaian bekalan global yang berterusan, adalah faktor yang mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan global," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang menyediakan Belanjawan 2023 melalui perundingan serta libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, dengan keutamaan ke atas pengurusan subsidi yang lebih mampan, pembaharuan ekonomi selain mengukuhkan daya tahan negara terhadap kejutan masa depan.

Katanya, inisiatif berkaitan kelestarian juga akan dipertimbangkan secara lebih meluas berikutan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang agak serius.

"Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, Belanjawan 2023 akan terus mengutamakan kebajikan rakyat, terutamanya dalam meningkatkan pendapatan dan perlindungan sosial.

"Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang serta peningkatan daya saing dalam perniagaan dan rantaian nilai," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!