Malaysia, Maldives saling iktiraf lesen memandu domestik

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Maldives akan saling mengiktiraf lesen memandu domestik yang dikeluarkan kedua-dua negara berkuat kuasa 12 September ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Dalam hantaran di Facebooknya, Ka Siong berkata, ini merupakan Perjanjian Saling Mengiktiraf (MRA) bilateral pertama yang Malaysia tandatangani dengan negara asing.

MRA itu ditandatangani Ka Siong dan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Maldives Aishath Nahula di Kementerian Pengangkutan di sini, pada Jumaat.

"Menerusi MRA ini, rakyat kedua-dua negara boleh terus menggunakan lesen memandu domestik masing-masing dan memandu kenderaan bermotor dibenarkan dalam wilayah masing-masing tanpa perlu melalui proses mendapatkan lesen memandu tempatan atau membuat sebarang perubahan kepada lesen sedia ada mereka,” katanya.

Ka Siong berkata, MRA ini akan memudah cara pergerakan rakyat kedua-dua negara yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor sosial dan ekonomi Malaysia dan Maldives.

"Kami sedia untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dalam pengangkutan dengan Maldives,” kata Ka Siong. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!