Emas pertama SUKIPT 2022 milik Umar Hafiz

Umar Hafiz (tengah) bersama Akimi Lotfi dan Nur Syahmi yang meraih kedudukan podium dalam acara silat seni kategori Tunggal Putera di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada Jumaat.
Umar Hafiz (tengah) bersama Akimi Lotfi dan Nur Syahmi yang meraih kedudukan podium dalam acara silat seni kategori Tunggal Putera di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada Jumaat.
A
A
A

PENUNTUT Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Umar Hafiz Roslee Amir memenangi pingat emas pertama di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 pada Jumaat.

Atlet berusia 24 tahun itu merangkul pingat tersebut setelah peroleh 461 mata bagi mengungguli acara silat seni kategori Tunggal Putera di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut atlet kelahiran Sabah itu, dia tidak pernah bermimpi meraih emas dalam acara tersebut memandangkan hanya sempat menjalani latihan selama dua hari sahaja.

“Sebenarnya saya berlatih selama dua hari sebab saya sibuk dengan latihan industri dan tidak sangka boleh menang sebab lawan saya merupakan atlet yang mewakili Malaysia di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 baru-baru ini.

“Saya kata dalam diri nak buat yang terbaik saja. Dapat tempat kedua atau ketiga pun saya bersyukur. Tapi, Alhamdulillah rezeki dan berkat doa orang tua saya dan kawan-kawan saya menang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.

Pada masa sama penuntut tahun dua jurusan Diploma Kecergasan Pertahanan itu juga memasang niat untuk mewakili Malaysia dalam pentas sukan yang lebih besar.

“Sasaran saya kalau ada rezeki mahu mewakili Malaysia untuk Sukan SEA atau mana-mana temasya lain,” katanya.

Sementara itu, pingat perak diraih pesilat UPSI, Akimi Lotfi Aminudin, manakala Nur Syahmi Rohamidi (UiTM) merangkul gangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!