50 unit rumah pangsa di Johor rosak akibat ribut

Keadaan Flat Ros Merah di Taman Johor Jaya yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut pada Jumaat.- Foto Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Gambar kecil: Rosliza, Nizam)
Keadaan Flat Ros Merah di Taman Johor Jaya yang mengalami kerosakan teruk akibat ribut pada Jumaat.- Foto Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Gambar kecil: Rosliza, Nizam)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 50 unit Rumah Pangsa Ros Merah di Taman Johor Jaya di sini mengalami kerosakan teruk akibat ribut pada Jumaat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesemua penduduk terlibat akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Johor Jaya.

"Lewat petang ini saya sempat melawat ke sekitar rumah pangsa di Taman Johor Jaya yang dilanda ribut hingga menyebabkan 50 unit rumah mengalami kerosakan teruk.

"Mereka akan dipindahkan sementara ke Dewan Johor Jaya. Semoga mangsa sabar dan tabah. Insya-ALLAH, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri akan membantu," tulisnya di Facebook rasminya pada Jumaat.

Sementara itu, mangsa, Rosliza Jaafar, 50, yang tinggal di Blok E berkata, semasa kejadian pada jam 1.15 petang, dia dan suami sedang mengemas rumah sebelum tergamam melihat bumbung rumah di blok sebelah diterbangkan angin ribut.

"Tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediaman kami, sebelum bumbung rumah kami pula diterbangkan angin kencang dalam keadaan hujan lebat sebelum masuk dalam rumah.

"Hujan terlalu lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak dan musnah akibat banjir. Masa itu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya, terlalu takut," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Rosliza berkata, kejadian disifatkan terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut sejak 1999.

Seorang lagi mangsa, Nizam Maskam, 45, hanya ingat untuk menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur dalam rumah ketika kejadian ribut melanda.

Dia bekerja di sebuah kilang berkata, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.

"Hari ini Jumaat, jadi sebelum hendak keluar solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan yang lebat ini lain macam.

PPS yang dibuka di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.- Foto APM
PPS yang dibuka di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.- Foto APM

"Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah yang sedang uzur. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk," ujarnya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor berkata, PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya telah dibuka pada jam 5.30 petang pada Jumaat.

Hujan lebat dan ribut pada sebelah tengah hari pada Jumaat menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!