Pendaki termuda dunia takluk Gunung Tersembunyi

Shehroze Kashif. - Foto Twitter
Shehroze Kashif. - Foto Twitter
A
A
A

KARACHI - Seorang warga Pakistan berusia 20 tahun pada Jumaat menjadi pendaki gunung termuda di dunia yang mendaki 10 puncak melebihi 8,000 meter (26,247 kaki) selepas menakluk Gashebrum I, gunung ke-11 tertinggi di dunia.

Gashebrum I setinggi 8,068 meter (26,469 kaki), juga dikenali sebagai "Gunung Tersembunyi", terletak di wilayah Gilgit-Baltistan utara Pakistan, yang bersempadan dengan negara jiran China, dan menempatkan lima daripada kesemua 14 gunung di atas ketinggian 8,000 meter.

"Tahniah Shehroze Kashif kerana berjaya menawan puncak Gasherbrum I hari ini (Jumaat) pada 4.09 pagi (2.09GMT)," lapor Agensi Anadolu memetik persatuan pendaki gunung, Alpine Club of Pakistan.

"Shehroze Kashif kini menjadi pendaki gunung termuda di dunia yang berjaya mendaki 10 puncak gunung yang melebihi 8,000 meter," tambah kenyataan itu.

Berasal dari bandar timur laut Lahore, Kashif menjadi warga Pakistan keenam yang mendaki Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia pada Mei tahun lalu.

Antaranya, Samina Baig, iaitu satu-satunya pendaki wanita yang mencapai kejayaan itu, pada 2013.

Kashif, anak kepada ahli perniagaan tempatan, mula mendaki seawal usia11 tahun, secara beransur-ansur mendaki beberapa puncak dengan ketinggian antara 3,000 hingga 8,000 meter (9,843-26,247 kaki) sebelum menakluk Gunung Everest dan K2.

Pada 2013, di usia 11 tahun, beliau menawan Puncak Makra setinggi 3,885 meter (12,746 kaki), yang terletak di daerah Mansehra barat laut Pakistan.

Ekspedisinya pada 2019 ke Puncak Broad setinggi 8,047 meter (26,401 kaki), yang terletak di Gilgit-Baltistan, menyebabkan beliau mendapat gelaran "The Broad Boy." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!