Sindiket jual bayi: Siasatan polis hampir selesai
KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung kes pemerdagangan bayi oleh satu sindiket di sekitar Selangor yang menggemparkan negara hampir selesai.
Penolong Pengarah Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman, Datuk Maszley Minhad berkata, kertas siasatan hampir selesai dan tempoh reman suspek yang berakhir hari ini tidak akan disambung.
Menurutnya, kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.
"Polis telah merakam semua keterangan suspek, mangsa dan keluarga yang mendapatkan bayi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ditahan bantu siasatan sindiket jual bayi di Rawang
Polis buru wanita dalang jual bayi
Sindiket jual bayi: Suspek disambung reman 3 hari
"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan siasatan menjurus kepada pembuktian sama ada wujud unsur paksaan bagi menunjukkan ada elemen pemerdagangan bayi di situ," katanya kepada Sinar Harian.
Maszley berkata, bayi yang terlibat dengan siasatan masih bersama keluarga angkat mereka dan proses untuk mengambil anak angkat secara sah sedang dilakukan.
Pada 28 Mac lalu, polis menahan suspek wanita berusia 58 tahun di pejabatnya di Jalan Rashaturai Kuala Kubu Bharu, Selangor, kira-kira jam 4 petang.
Turut dirampas telefon bimbit jenis Huawei milik suspek.
Kemudian, permohonan reman suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) 2007.
Terdahulu, Sinar Siasat pada 25 Mac lalu membongkar kegiatan pemerdagangan bayi yang kembali aktif apabila menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk mendapatkan 'bekalan' bayi untuk dijual.
Susulan pembongkaran tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak melakukan pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.
Modus operandinya mudah yang mana rumah jagaan terbabit akan mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis yang mengandung luar nikah.
Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli.
Jika tidak golongan gadis berkenaan perlu membayar lebih RM9,500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!