RM40 juta kos selenggara di Cameron Highlands: TNB

Sa'aidan (tengah) bersama beberapa pegawai TNB membuat lawatan di Empangan Susu (Ulu Jelai) pada Khamis.
Sa'aidan (tengah) bersama beberapa pegawai TNB membuat lawatan di Empangan Susu (Ulu Jelai) pada Khamis.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Secara purata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan sebanyak RM40 juta setahun bagi kos penyelenggaraan Stesen-Stesen Janakuasa Cameron Highlands (SSJCH).

Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Ir Roslan Ab Rahman berkata, kos tersebut merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri lain ekoran masalah bahan buangan di kawasan itu adalah yang paling teruk.

Roslan
Roslan

Beliau berkata, kos selenggara kebiasaannya meningkat sekitar lima hingga 10 peratus setiap tahun bagi memastikan mesin boleh beroperasi setiap masa.

Menurutnya, cabaran terbesar syarikat adalah dari segi menguruskan bahan-bahan buangan atau lapisan mendapan (sedimen) yang masuk ke dalam tasik.

“Kos keseluruhan termasuk operasi, selenggara dan menguruskan empangan di seluruh negara mencecah sekitar RM100 juta setahun.

"Setiap tahun kita terpaksa buat satu perbelanjaan yang besar untuk memindahkan sedimen dan hasil-hasil lain termasuk sampah sarap ke tempat lain supaya kapasiti empangan sentiasa berada pada tahap yang baik.

"Jika kerja-kerja selenggaraan ini tidak dilakukan, tahap kapasiti empangan akan berkurangan dan memberikan kesan kepada takungan air seterusnya menyebabkan limpahan sekiranya tidak ditangani dengan betul.

"Buat masa ini, kita masih lagi dapat menguruskan belanjawan (penyelenggaraan), tetapi sekiranya kita dapat menghentikan masalah bahan buangan atau bahan yang tidak diingini masuk ke dalam tasik, kos ini boleh dikurangkan,” katanya kepada media yang mengikuti program Lawatan Media ke SSJCH pada Rabu.

Pengamal media dan kakitangan TNB bergambar setelah selesai melawat Muzium SSJCH pada Rabu.
Pengamal media dan kakitangan TNB bergambar setelah selesai melawat Muzium SSJCH pada Rabu.

Turut hadir, Pengurus Besar SSJCH, Sa'aidan Abu Hassan dan Pengurus Besar Hal Ehwal Stakeholder TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad.

Untuk makluman, SSJCH mempunyai beberapa stesen janakuasa di bawah pentadbirannya seperti Stesen Janakuasa Sultan Yussuf JOR dengan 100 megawatt (MW), Stesen Janakuasa Sultan Idris WOH (150MW) dan yang baharu, Stesen Janakuasa Ulu Jelai (372MW).

Jelas Roslan, lawatan selama dua hari satu malam kali ini bertujuan memberi pendedahan dan melihat secara dekat bagaimana TNB Genco melalui stesen-stesen janakuasa melakukan operasi dan senggaraan berjadualnya.

“Kita sedia maklum ini adalah salah satu daripada stesen yang dikategorikan sebagai tenaga boleh diperbaharui (RE), jadi kita ingin menyampaikan maklumat tentang operasi di sini.

“Fungsi empangan bukan sahaja untuk menjana elektrik tetapi juga sebagai tebatan banjir dan mengawal pengaliran air di hilir sungai,” ujarnya.

Ditanya berkenaan stesen hidroelektrik, beliau memaklumkan, ia telah menyumbang sekitar 10 peratus daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijana di Malaysia.

“Apabila kita membuat keputusan untuk menggantikan kapasiti arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035, kita perlu mencari di mana kapasiti yang akan menggantikan tenaga ini.

“Jadi, ini (hidrogen) merupakan salah satu daripada RE dengan penjanaan kuasa yang sama, tetapi menggunakan bahan bakar hidrogen, bukan arang batu.

“Masih ada ruang untuk tingkatkan kos hidrogen iaitu sekitar lima peratus lagi menjelang 2035. Kena ingat, tenaga hidrogen adalah terhad,” katanya.

Jelasnya, kaedah untuk mendapatkan tenaga tersebut adalah melalui tasik atau empangan.

“Namun empangan tidak boleh dibina tanpa ada kajian terperinci terlebih dahulu dan Malaysia juga tidak mempunyai banyak sungai seperti negara-negara yang lebih besar, jadi perlu pastikan kita buat satu keputusan yang betul,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!