SUKIPT 2022: Anak Mirnawan raih emas acara silat seni
BAPA borek anak rintik. Itu ungkapan yang sesuai diberikan kepada anak legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, Mirsha Nurathiqa Mirnawan yang berjaya meraih emas dalam acara kategori tunggal puteri di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.
Mirsha yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menyifatkan kejayaan memenangi pingat emas itu sebagai penebus duka apabila meraih pingat gangsa dalam acara sama di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) awal bulan ini.
Menurutnya, dia turut mengakui sokongan kuat daripada keluarga terutama bapanya antara sebab beliau berjaya beraksi dengan baik pada temasya ini.
“Saya teruja dan terkejut sebab ini bukan acara kegemaran, tapi tetap dapat buat yang terbaik.
“Ini juga boleh kata pengubat duka saya semasa di AUG yang mana ketika itu, saya dapat gangsa sebab banyak buat kesilapan dan terlalu gugup.
"Terima kasih kepada ayah yang memang penyokong kuat. Keluarga saya juga memang menyokong saya dan menyuntik semangat yang tinggi untuk bertanding. Alhamdulillah dengan semangat dan doa mereka semua, maka saya berhasil kali ini," katanya.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jumaat, Mirsha mengesahkan emas dalam acara tunggal puteri selepas meraih sebanyak 460 mata.
Perak dan gangsa masing-masing diraih atlet dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurdiana Najwa Rashid dan atlet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Malisa Khaizreen Mohamad Khaidir.
Dalam pada itu, Mirnawan ketika diminta mengulas pencapaian anaknya itu, beliau nyata berbangga dengan kejayaan Mirsha memenangi pingat emas.
Jelas beliau, meskipun mengakui ia bukan satu tugas mudah untuk Mirsha menjalani latihan sambil memenuhi tuntutan sebagai mahasiswa, namun anaknya itu berjaya melakukannya dengan baik.
“Alhamdulillah, akhirnya segala penat lelahnya menjalani latihan di bawah bimbingan Habizan Othman membuahkan hasil. Saya tahu ia bukan mudah buat Mirsha, sebab banyak pengorbanan yang dia harus lalui.
“Bukan sahaja harus menjalani latihan tapi dia juga ada tuntutan dalam pengajiannya. Alhamdulillah dia mendapat kejayaan dengan pengorbanan yang dilakukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!