Piala Tun Ali: Kelantan Warriors tampil sebagai 'underdog'

Zuraidin (duduk, tiga dari kanan) bersama pengurusan dan barisan pemain yang akan menyertai Kejohanan Piala Tun Ali di Bukit Serindit, Melaka pada 15 hingga 21 Ogos ini. - Foto Bernama
Zuraidin (duduk, tiga dari kanan) bersama pengurusan dan barisan pemain yang akan menyertai Kejohanan Piala Tun Ali di Bukit Serindit, Melaka pada 15 hingga 21 Ogos ini. - Foto Bernama
A
A
A

KELANTAN Warriors dengan membariskan pemain baharu turun sebagai pasukan 'underdog' pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang julung kali diadakan di Melaka pada 15 hingga 21 Ogos ini.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah berkata, walaupun tanpa nama-nama besar, Kelantan Warriors tetap menyasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir.

"Kami akan turun sebagai pasukan bukan pilihan kerana pasukan lain menurunkan pemain-pemain yang mempunyai nama besar dalam arena sukan sepak takraw seperti Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.

"Namun kita tetap meletakkan sasaran sekurang-kurangnya untuk layak ke peringkat suku akhir dalam kejohanan kali ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam dan Memperkenalkan Pemain Kelantan Warriors ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022, di Kota Bharu pada Jumaat.

Selain barisan muka baharu, Zuraidin berkata, Kelantan Warriors turut mendapatkan khidmat pemain import dari Thailand, Ronnapee Na Nongkrai yang akan beraksi di posisi tekong.

Kejohanan yang berlangsung di Bukit Serindit, Melaka itu turut menarik penyertaan 17 pasukan seluruh negara termasuk satu jemputan khas dari Singapura dengan menampilkan pemain muda termasuk atlet negeri yang akan beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!