Siasat kemungkinan trauma dialami warga maahad tahfiz
KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta melakukan siasatan menyeluruh berhubung kesan kejadian serangan di sebuah maahad tahfiz dekat Kuala Lipis yang tular di media sosial, pada Jumaat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pada masa ini semua tenaga pengajar dan pelajar maahad itu sudah dibawa untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan.
"Pemeriksaan merangkumi penilaian kesan trauma yang mungkin dialami mereka.
"Kita simpati dan bimbang seandainya ada perkara tidak diingini lebih serius berlaku. Jadi, saya minta pihak JAIP pergi bersama pendidik dan pelajar ini (melakukan pemeriksaan) supaya dapat membantu memulihkan semangat mereka," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan Pahang bersimpati kepada pihak pengurusan maahad tahfiz tersebut termasuk guru dan pelajarnya.
"Tidak patut kita pukul orang kerana ini luar daripada sifat kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Syed Ibrahim menasihatkan semua maahad tahfiz mengambil langkah keselamatan tambahan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka.
"Kalau boleh pasang CCTV kerana ia dapat membantu pihak polis melakukan siasatan jika berlaku insiden serupa pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!