Padah beraksi ala Superman, tiga penunggang motosikal ditahan

Tiga penunggang motosikal ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya pada awal pagi Sabtu.
Tiga penunggang motosikal ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

BALIK PULAU - Tiga penunggang motosikal ditahan selepas didapati menunggang dalam keadaan laju dan berbahaya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran kawasan perindustrian di Bayan Baru.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 19, 21 dan 36 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada awal pagi Sabtu.

Menurutnya, operasi yang dijalankan bermula jam 1 hingga 7 pagi itu turut menyita dua buah motosikal kerana pelbagai kesalahan.

"Hasil pemerhatian ketika operasi dijalankan, kita mendapati sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara menduga kelajuan serta beraksi membongkokkan badan (aksi Superman).

"Perbuatan itu jelas membahayakan penunggang motosikal itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Kita berjaya menahan tiga lelaki untuk disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu kata Kamarul, polis turut mengeluarkan 11 saman terhadap ketiga-tiga tangkapan.

"Tangkapan pertama yang berusia 19 tahun dikenakan enam saman dan kedua yang berusia 21 tahun dikenakan satu saman. Kedua-duanya adalah pekerja kilang.

"Tangkapan ketiga yang berusia 36 tahun dikenakan empat saman dan dia bekerja sebagai juruteknik lif. Ketiga-tiga mereka bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Tambah beliau, dalam operasi sama, polis turut menyita dua buah motosikal dan lapan saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik lain.

"Kita akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa terutamanya pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan samseng jalanan ini.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah melakukan kegiatan yang tidak berfaedah itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!