Jangan jadi YB longkang

A
A
A

DUA hari lalu Ahmad Marzuk Shaary diperintah meninggalkan Dewan Rakyat dan tidak boleh menghadiri Sidang Parlimen selama dua hari.

Wakil dari Pengkalan Chepa itu mengeluarkan perkataan kurang sopan, memaksa Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bertindak tegas.

YB Pas itu mengatakan wakil Bagan yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ‘seperti pondan’.

Itulah perkataan yang enggan ditarik balik sehingga menimbulkan kekecohan di dewan yang mulia.

Seperti yang ditonton dalam tular, Ahmad Marzuk akhirnya meninggalkan dewan, sambil disertai beramai-ramai oleh YB-YB pembangkang lain, termasuk daripada BN.

Insiden dihalau dan keluar dewan beramai-ramai seperti itu semakin kerap terjadi. Nampaknya menjadi kemegahan apabila ada wakil digantung.

YB yang digantung seperti dianggap wira dan rakan-rakan seangkatan megah meraikan kewiraan itu dengan turut meninggalkan dewan.

Adalah malang sekali apabila sesuatu yang dahulu berlaku ketika pentadbiran lama BN, kini berulang dalam pentadbiran baharu PH.

Artikel Berkaitan:

Rakyat khasnya pengundi, amat mengharapkan satu pembaharuan dalam Parlimen sekarang. Apabila pentadbiran kleptokrasi disingkirkan pada PRU14 umum ingin melihat kualiti sidang yang lebih baik, lebih matang.

Tetapi setakat ini apa yang tidak sedap pada masa lalu, masih berulang.

Filem lama dimainkan semula dalam Parlimen kita, walaupun dengan watak berbeza – yang dahulu kerajaan kini menjadi pembangkang, begitulah sebaliknya.

Kes terbaharu ini sebenarnya bermula dengan isu yang baik, untuk kepentingan rakyat. Wakil Pas berkenaan mempertikaikan dasar kerajaan membuka pintu kepada kontraktor semua bangsa bagi tender yang sebelum ini hanya dikhaskan kepada Bumiputera.

Sebelum itu berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua anggota Parlimen berkenaan berhubung dakwaan Ahmad Marzuk bahawa “DAP menguasai kementerian kewangan dan kerajaan.”

Geram Pertikaman lidah yang sengit terjadi dalam kalangan anggota-anggota Yang Berhormat, sehingga isu sebenar untuk rakyat tersasar jauh.

Masing-masing bercakap melepaskan geram, lari jauh daripada isu sebenar rakyat yang sepatutnya dibincangkan secara matang dan berhemah.

Dahulu lagi Parlimen kita direndahkan tarafnya oleh YB-YB yang seperti tidak tahu peraturan.

Mereka masuk Parlimen bukan untuk menyuarakan hak rakyat, tetapi untuk menyerlahkan ego diri. Malah sesetengah YB dikenali bukan kerana hujah yang bernas, tetapi kerana sikap kurang ajar dan gelagat bodoh sombong yang amat ketara.

Dahulu lagi sidang dewan kita telah melihat ramai anggotanya yang digantung kerana pelbagai kesongsangan dan kesamsengan – kata-kata kesat, mencarut, rasis, malah bahasa isyarat yang lucah.

Menjerit, maki-hamun dan tumbuk-tumbuk meja seperti ini biasanya berlaku dalam kalangan rakyat bawahan yang gagal mengawal emosi ketika bertengkar di warung teh tarik di tepi longkang.

Malah, apabila terlalu bersemangat, ada yang hilang kewajaran, sehingga sanggup memecahkan gelas dan membaling makanan.

Dalam situasi yang lebih emosi, mungkin ada yang bersinsing lengan dan bertumbuk. Walaupun bukan sesuatu yang baik, hal seperti itu masih boleh diterima akal sebab itu terjadi di warung kopi di bawah pokok atau di tepi longkang, dalam kalangan rakyat biasa yang mungkin tidak bersekolah.

Tetapi Parlimen adalah dewan mulia, yang anggota-anggotanya dipilih oleh rakyat berdasarkan wibawa dan kebolehan masing-masing.

Mereka dipilih atas kepercayaan dan keyakinan rakyat. Tambahan pula wakil-wakil rakyat kita orang berkelayakan, berpendidikan, berijazah, maka tengking-menengking, tumbuk-tumbuk meja dan sebagainya bukan perangai atau amalan yang sepatutnya.

Sepatutnya YB-YB kita, tidak kira kerajaan atau pembangkang, tidak kira daripada parti mana, hendaklah berhujah dengan fakta, bukan dengan emosi.

Harapan rakyat selalu tinggi. Apa yang dipilih pengundi dan dijadikan wakil di Parlimen sepatutnya betul-betul dapat membela rakyat, bukan YB cap ayam @ YB longkang.YB yang digantung seperti dianggap wira dan rakan-rakan seangkatan megah meraikan kewiraan itu dengan turut meninggalkan dewan."



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!