ARRC 2022: Zaqhwan terlepas status pendahulu

Zaqhwan (kiri) bersama Noguchi (tengah) dan Kasma Daniel selepas perlumbaan di Litar Sugo, Jepun pada Sabtu.
Zaqhwan (kiri) bersama Noguchi (tengah) dan Kasma Daniel selepas perlumbaan di Litar Sugo, Jepun pada Sabtu.
A
A
A

PELUMBA Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zaqhwan Zaidi gagal mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan kelas ASB1000 apabila menduduki tempat kedua Perlumbaan 1 Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Litar Sugo, Jepun pada Sabtu.

Pesaing terdekatnya yang juga wakil tuan rumah, Haruki Noguchi (SDG Motor Sports HARC-Pro Ph) meraih kemenangan dengan catatan 15 minit 00.898 saat (s), manakala Zaqhwan merekodkan 15'04.789s.

Dalam pada itu, pelumba Yamaha Racing Team ASEAN, Kasma Daniel Kasmayudin melengkapkan pentas podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan 15'04.884s.

Keputusan itu menyaksikan Zaqhwan ketinggalan satu mata di belakang Noguchi yang mengumpul 99 mata dalam carta pelumba kelas perdana itu.

Bagaimanapun, pelumba berpengalaman negara itu berpeluang memintas Noguchi jika meraih keputusan positif dalam Perlumbaan 2 pada Ahad.

Sementara itu, Noguchi mengakui beraksi di litar laman sendiri banyak membantunya untuk mengungguli perlumbaan selain berharap kekal dengan momentum sedia ada pada Perlumbaan 2 nanti.

"Latihan dan pengalaman yang saya peroleh daripada perlumbaan Seluruh Jepun sebelum ini memberikan saya kelebihan mengenali litar ini.

"Sudah tentu selain beraksi di laman sendiri, ia juga memberikan saya suntikan semangat," kata Noguchi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!