Kelekaan minit akhir hukum Melaka United: Mohd Asri

Pemain Sri Pahang FC, Andres Steven Rodriguez Ossa (tengah) cuba melepasi asakan pemain-pemain Melaka United FC ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong pada malam Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Sri Pahang FC, Andres Steven Rodriguez Ossa (tengah) cuba melepasi asakan pemain-pemain Melaka United FC ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat dekat Krubong pada malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KELEKAAN Melaka United FC pada minit terakhir perlawanan menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati apabila terikat 2-2 dengan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super malam Sabtu.

Pemangku ketua jurulatih Melaka United, Mohd Asri Ninggal berkata, perlawanan di Stadium Hang Jebat, Kerubong di sini adalah episod mengecewakan baginya dan pasukan apabila terlepas peluang mengutip mata penuh walaupun ia sudah terhidang depan mata.

"Kita tidak ambil peluang walaupun pemain telah bermain dengan bagus dan menguasai perlawanan, namun disebabkan kesilapan mudah membenarkan lawan membuat hantaran menjaringkan gol selain pemain tidak kekal memberi tumpuan telah menghukum kita.

"Kita perlu menyalahkan diri sendiri dengan keputusan ini, namun apa yang lebih penting pasukan perlu bangkit dan memperbaiki permainan terutama bertahan di saat akhir dan sudah tentu perlawanan seterusnya bertemu Terengganu lawan yang bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam Sabtu.

Pada perlawanan malam Sabtu, skuad Sang Kancil lebih menguasai permainan dan mendahului dengan dua gol menerusi penyerang import dari Nigeria Ifedayo Olusegun pada minit ke-38 dan pemain dari Brazil Adriano Narcizo di minit ke-51.

Dua pemain gantian Skuad Tok Gajah muncul wira pasukannya selepas menjaringkan gol penyamaan dalam tempoh tiga minit terakhir perlawanan menerusi David Rowley pada minit ke-87 dan Shahrul Nizam Nadzir minit ke-90.

Sementara itu, ketua jurulatih interim Sri Pahang, Dolah Salleh berkata, pemain gantian telah memberikan impak besar kepada keputusan perlawanan itu selain pasukannya mempamerkan semangat tidak berputus asa sehingga tamat perlawanan.

"Walaupun malam ini pemain dilihat serba tidak menjadi dan lesu namun secara keseluruhan kita berpuas hati kerana gol pertama telah memberi suntikan semangat kepada pasukan sehingga terhasil gol kedua untuk kita meraih mata berharga,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United yang mengumpul 17 mata berada di tangga ketujuh liga, manakala Pahang di tempat kelima dengan 18 mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!