Ah long samseng kena cekup
JOHOR BAHRU - Tiga individu terlibat sindiket ah long yang disifatkan ganas dan bahaya dicekup polis dalam tiga serbuan berasingan sekitar Johor Bahru, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata suspek dipercayai melakukan kerja-kerja menyimbah cat, membakar rumah dan menampal notis ugutan.
"Polis percaya mereka melakukan ugutan ini terhadap mangsa di beberapa lokasi antaranya Johor Bahru, Petaling Jaya, Kepong, Cheras dan Ipoh.
"Dalam serbuan kita temui pelbagai barangan seperti penyembur warna merah, cat merah, minyak petrol serta topeng muka dan hidung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, penahanan dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 30 tahun itu dipercayai berjaya menyelesaikan enam kes di Johor Bahru, 13 kes di Iskandar Puteri, 11 kes di Batu Pahat, enam kes di Selangor dan satu kes di Perak yang dilaporkan.
"Sindiket ah long ini telah dikesan bergiat aktif pada penghujung Februari lalu dengan mensasarkan individu atau peminjam yang gagal membuat bayaran pinjaman. Urusan pinjaman wang ini dipercayai dilakukan di negara jiran," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar berurusan dengan syarikat pinjaman wang berlesen atau terus ke kaunter perkhidmatan kewangan yang disediakan institusi perbankan berdaftar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!