Empat tonggak cedera bukan masalah buat Liverpool
MASALAH kecederaan empat tonggak utama, Thiago Alcantara, Diogo Jota, Curtis Jones dan Alex Oxlade-Chamberlain dilihat tidak memberikan masalah buat Liverpool menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), berdepan Crystal Palace pada Selasa.
Menurut Klopp, ketiadaan keempat-empat pemain berkenaan bakal menyaksikan beberapa pemain yang telah pulih daripada kecederaan sebelum ini bakal kembali beraksi.
“Persiapan kita menjelang perlawanan dengan Crystal Palace ini agak terganggu dengan masalah kecederaan Thiago (Alcantara), Diogo (Jota), Curtis (Jones) dan Alex Oxlade (Chamberlain).
“Tetapi, kita juga sebenarnya memiliki beberapa pemain yang boleh beraksi bagi menggantikan mereka bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
“Bagaimanapun, kita perlu melihat dahulu prestasi pemain-pemain ini sebelum memuktamadkan siapa yang bakal beraksi nanti,” katanya.
Untuk rekod, skuad The Reds itu dilihat terdesak untuk mencatatkan kemenangan sulung pada aksi EPL musim ini, setelah hanya mampu terikat 2-2 ketika bertandang ke Caravan Cottage berdepan Fulham, minggu lalu.
Berdasarkan laporan perubatan, dua pemain melibatkan pemain tengah, Naby Keita dan pertahanan kiri, Kostas Tsimikas dikatakan telah pulih dari kecederaan dan boleh beraksi.
Sementara itu, Klopp nyata gembira dengan berita yang mengatakan Keita dan Tsimikas boleh beraksi menentang Crystal Palace.
Malah, katanya, kehadiran kedua-dua pemain berkenaan akan memudahkannya untuk merencana percaturan strategi bagi berdepan skuad The Eagles itu.
“Kita gembira apabila Keita dan Tsimikas dilaporkan telah pulih daripada kecederaan... Keita bakal beraksi Selasa ini.
“Bagi Tsimikas pula, dia sudah mula menjalani latihan buat kali pertama Jumaat lalu dan diharapkan dia juga mampu beraksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!