Aaliyah gondol empat pingat emas di Korea Selatan

Aaliyah gondol empat pingat emas di Korea Selatan. - Foto Bernama
Aaliyah gondol empat pingat emas di Korea Selatan. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menamatkan kempennya di Kejohanan Ski Air Asia IWWF di Chuncheon, Korea Selatan pada Sabtu dengan menggondol empat pingat emas.

Menurut laman web Sukan http://www.iwwfed-ea.org/classic/22ASIA03/, peluncur berusia 19 tahun itu memenangi pingat emas pertamanya pada Jumaat selepas berjaya memperoleh 7,440 mata dalam acara ‘tricks’ terbuka wanita.

Aaliyah Yoong kemudian meneruskan persembahan mengagumkannya dalam acara ‘jump’ terbuka wanita pada Sabtu apabila berjaya menghasilkan lompatan 40.6 meter (m) pada peringkat awal dan 37.2m pada pusingan akhir untuk meraih satu lagi pingat emas.

Atlet remaja itu juga mendominasi dalam acara ‘slalom’ wanita dengan markah 0.00/55kmj/13m untuk emas ketiganya dan melengkapkan gondolan emas keempatnya apabila meraih gelaran keseluruhan dengan jumlah 3000 mata, pada hari yang sama.

Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong berkata, keseluruhannya Malaysia berjaya memperoleh lima emas, satu perak dan tiga gangsa termasuk dalam kategori lelaki.

"Empat (pingat) disumbangkan daripada Aaliyah, satu daripada abangnya Adam Yoong dalam acara ‘tricks’ lelaki bawah 17 (U17), satu perak daripada Aiden Yoong lelaki U17 keseluruhan dan tiga gangsa acara ‘tricks’ lelaki U17 oleh Aiden, acara ‘slalom’ lelaki U17 dan Adam bagi acara lompat U17.

"Tahniah pasukan Malaysia," kata Hanifah Yoong yang juga bapa Aaliyah.

Adam Yoong turut memecah rekod baharu apabila berjaya menampilkan aksi peribadi terbaik dengan jarak 27.0m, mengatasi rekod sebelumnya 15.9m, yang dicatatkan pada Kejohanan Asia 2019, Bangkok.

Sementara itu, adiknya, Aiden Yoong yang berusia 16 tahun memadamkan rekod sebelumnya 20.1m dengan lompatan 23.9m. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!