GPMS Perak sahut cabaran tanam kelapa
IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak memulakan usaha untuk terlibat di dalam pertanian dengan menanam 100 pokok kelapa pandan di atas tanah milik mereka seluas dua hektar di Gunung Mesah, Gopeng.
Pengerusinya, Mohamad Faizal Haramaini berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar golongan belia terlibat di dalam bidang pertanian.
Menurut beliau, tanah lapang yang ada itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan bantuan benih daripada Jabatan Pertanian Perak.
"Benih kelapa ini kami beli sendiri dan separuhnya pula hasil sumbangan dari jabatan Pertanian Negeri Perak. Kos permulaan program ini sekitar RM3,000 termasuk kerja-kerja tanah.
"Kita jangkakan kerja-kerja tanah ini akan siap sepenuhnya dalam masa seminggu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mohamad Faizal berkata, sebanyak lima cawangan GPMS iaitu Gopeng, Kampar, Tambun, Batu Gajah dan Ipoh diamanahkan untuk menjaga tanaman tersebut secara bersama.
Beliau berkata, pihaknya akan memperluaskan usaha pertanian tersebut dengan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak semaian kelapa pandan.
Menurutnya, sokongan dan bantuan daripada pihak berkaitan amat diperlukan dalam merealisasikan impian tersebut.
Pada 30 Julai lalu, Sultan Nazrin menitahkan perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan dan rakyat hendaklah dibawa bersama, membantu menangani memenuhi keperluan bekalan makanan.
Titah baginda, para belia hendaklah menawarkan diri dan pimpinan bagi membangunkan program briged muda petani moden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!