Hampir 600 penguin mati di pantai Brazil
SAO PAULO - Sebanyak 596 penguin ditemukan mati di Florianopolis, Santa Catarina di selatan Brazil selepas puting beliung luar tropika yang membawa angin kencang melebihi 100 kilometer (km) sejam melanda kawasan itu, menurut Projek Pemantauan Pantai Lembangan Santos (PMP) pada Sabtu.
Haiwan itu dijumpai di beberapa kawasan pantai di Florianopolis, kata pakar biologi Andre Barreto, yang juga penyelaras Santa Catarina PMP.
Menurutnya, puting beliung yang bergerak menghala ke selatan dan tenggara Brazil itu turut menghanyutkan beberapa spesis haiwan marin lain dan bangkai seperti camar dan penyu juga turut ditemukan sejak Selasa.
"Secara amnya, haiwan yang dijumpai selepas puting beliung adalah haiwan yang paling lemah. Penguin mengalami kesukaran untuk melarikan diri apabila berdepan ombak yang kuat, tidak seperti burung lain kerana penguin tidak boleh terbang.
"Penguin lemas akibat keadaan laut bergelora, meskipun cuba berenang ke permukaan untuk bernafas," kata pakar itu.
Angin dengan kelajuan 100km sejam direkodkan pada Selasa dan Jumaat di Santa Catarina, menurut agensi meteorologi tempatan Epagri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!